Monday, 26 December 2011

Kaulah Lilin Hatiku

Kisah kehidupan seorang hamba Allah yang melupakannya.Bermulanya kisah hidupku apabila dilahirkan ke bumi ini oleh seorang yang ku gelar ibu.Aku dijaga dan diberi kasih sayang yang secukupnya tanpa ada sedikit pun kekurangannya dari adik-beradik ku yang lain. Ibu seorang yang tidak pernah jemu melayan kerenahku bahkan ayah juga tidak pernah kenal erti penat lelah dalam memberi sokongan kepadaku.

Teringat di saat kali terakhir ayah memeluk aku.Ketika itu aku baru mendapat keputusan Pencapaian Menengah Rendah (PMR).Ayah memelukku kerana aku mendapat keputusan yang cemerlang.Lalu,dihadiahkannya sebuah motor untukku supaya aku mudah untuk berulang-alik ke sekolah dan disitulah bermula sebuah kehidupan yang gelap dan penuh berliku.

Sejak hari itu,aku mula pandai berjinak-jinak dengan cinta dan membuatkan aku sedikit demi sedikit melupakan diri dunia yang nyata. Aku juga mula bercampur dengan orang-orang yang tidak sepatutnya seperti geng underground dan berbagai-bagai lagi.Malah aku juga tidak terlepas terjerumus untuk menjadi seorang minah rempit.

Pada awalnya aku hanya mengikuti mereka tetapi lama-kelamaan jiwaku memberontak untuk mencuba bermacam-macam perkara.Bayangkan sudah dapat sekali selepas itu mahu mencuba berkali-kali.Perubahan diriku disedari ayah dan ibu.Ibu hanya mampu berpesan.Setiap hari ber'mandi'kan air mata kerana sikapku itu.Pesan ibu langsung tidak aku endahkan.Malah leteran ayah juga tidak ku pedulikan.Aku hanya memekakkan telinga dan terus melakukan apa sahaja mengikut kehendak hati yang sudah mati.

Perkara tersebut berterusan sehingga aku tamat persekolahan tetapi keputusan peperiksaan aku amat mengecewakan.Ayah dan ibu hampa denganku tetapi mereka masih lagi memberi aku semangat untuk memajukan diri.Tetapi aku bentak dengan semuanya lalu mengambil keputusan untuk bekerja di Kuala Lumpur.

Aku tinggal di rumah bujang bersama rakan yang aku baru kenali menjadikan aku semakin buas disana.Lalu ditakdirkan aku mengenali seorang lelaki yang agak alim pada pandanganku.Kami menjalinkan hubungan bersama dari situlah aku belajar berubah sedikit demi sedikit untuk menjadi orang yang berguna.Setahun perkenalan kami dan dua tahun menjalinkan hubungan cinta.Akhirnya rahsia segalanya terbongkar,aku di tipu hidup-hidup.Disebalik tingkah laku yang sopan rupanya tersembunyi kelakuan syaitan disebalik seri di wajahnya itu.Perpisahan kami membuatkan hidupku kembali memberontak untuk mencari ketenangan.

Apa yang aku lakukan bukanlah bersujud kepada Tuhan dan memohon untuk diberi ketenangan tetapi aku masih tetap melupakan-Nya.Malah terus membelakangkan ibu dan bapaku.Aku hanya mencari hiburan yang boleh membuatkan aku daripada mengingati dia. Aku telah pandai ke disko,meminum arak,membuat maksiat dan sebagainya asalkan dapat membuatkan pemikiran ku tidak berfikir tentang si dia.Segalanya berlarutan sehinggalah tiba hari lahirku yang ke-23 tahun.

Aku terkejut dengan hadiah yang ku terima.Dihadiahkan aku sepasang kasut berharga RM 245 dan seutas rantai emas dan loketnya tertulis nama ayah dan ibu.Disertakannya sehelai kertas yang tertulis:

"Ibu menghadiahkan kamu kasut itu adalah untuk kamu mudah kembali kejalan yang benar kerana kata orang jika mahu pulang ke jalan yang benar sememangnya jalan itu penuh duri dan liku.Gunakanlah ia dengan sebaik mungkin selagi ia masih mampu berkhidmat untukmu.Andai engkau kepenatan dan terasa mahu berputus asa jadi lihatlah nama ibu dan ayah mu dirantai itu kerana kami akan sentiasa menyokong dan membantu mu untuk 'pulang'."

Ku lihat air mata ibu mengalir ketika mengenakan rantai itu padaku dan aku tahu dari raut wajahnya terpampang rasa kecewanya terhadap sikapku.Walaupun tidak diluahkannya,aku tahu aku tidaklah seperti adik beradik yang lain yang mendengar nasihat ibu dan ayah serta berjaya dalam hidup tapi ibu dan ayah tidak pernah sesekali menyindir atau mengenepikan aku.Aku disayangi sama seperti yang lain.

Terbayang segala pengorbanan ibu dan ayah ketika itu.Antaranya ibu yang tak pernah kenal erti berputus asa dengan sikapku.Malah sanggup menjaga aku ketika aku sakit.Walaupun ibu tahu aku sebenarnya sendiri yang mencari penyakit namun ditatangnya aku dengan penuh kasih tanpa sebarang kecacatan.Ayah pula sering menunggu kepulangan ku diwaktu malam.Kadang-kadang sehingga terlelap ayah di kerusi ruang tamu ketika menungguku.Kepulanganku tidak di marahi tetapi hanya di tanya satu soalan "kemana tadi...???"Tetapi itu pun dengan nada yang lembut.Ayah juga tidak pernah penat menasihati aku.Banyak jasa mereka kepada ku yang bermain di fikiran ku ketika itu.


Selepas hari itu aku mula berubah sedikit demi sedikit kemana sahaja aku mahu pergi pasti kasut yang dihadiahi ibu dan ayah ku akan aku pakai.Andai aku mahu kembali ke jalan yang gelap pasti aku teringat akan ayah dan ibu.Lama-kelamaan aku telah berjumpa jalan yang terang untukku.Alhamdulilah sehingga kini aku masih lagi di jalan yang terang.Aku masih lagi sujud dan bersyukur ke atas Tuhan kerana telah memberikan aku kekuatan dan petunjuk untuk aku kembali ke jalan yang benar.Terima kasih aku ucapkan pada ayah dan ibu yang tidak pernah kenal erti putus asa terhadapku.Andai dipanjangkan umur pasti aku akan membalas jasamu.

Ibu..Ayah..

Kaulah Lilin Hatiku.

Wednesday, 14 December 2011

Epilog Noda Semalam

Aku berteleku mengingatkan dosa-dosa semalam.. Rentetan terlalu obses dalam mengejar syurga dunia, aku terhanyut dek arus kealpaan yang telah menukarkan peribadiku.

Nilai sopan santun, budaya muslimah serta didikan agama yang dicurahkan oleh kedua ibu bapaku sudah tiada dalam kamus hidupku.

Aku tidak pandai menjaga pergaulanku dengan kaum Adam. 2 tahun lepas aku seorang penuntut universiti awam terkemuka di Kuala Lumpur.

Oleh kerana berasal dari kampung, aku bagaikan terkena kejutan budaya apabila melihat segala yang aku inginkan mudah diperoleh.

Kisah hidupku berubah sejak aku mengenali Rizal. Dia mendekatiku dengan peribadi yang kononnya alim, sekadar ingin buat aku tertarik padanya.

Betapa lemahnya aku pada waktu itu kerana terjerat oleh cinta lelaki yang hanya mahukan diriku dan saling bertanding dengan kawannya untuk mendapatkanku.

Walhal aku seorang yang sangat berhati-hati dalam memilih pasanganku.

Perkenalanku dengannya bermula apabila dia menulis nota ringkas untuk mengenaliku dengan lebih dekat. Dia juga sanggup menunggu sehingga aku habis belajar.

Pada mulanya aku tidak layan namun hati yang degil tidak dapat menidakkan kehadirannya yang sedikit sebanyak memberi getar di hati ini.

Tanpa aku sedari juga, dia turut mendapat nombor telefonku daripada sahabatku yang memudahkan laluannya. Aku yang tidak pernah mengenal cinta kaum Adam tertarik padanya buat pertama kali dalam hidupku.

Dahulu aku sangat tidak suka orang yang bercouple, namun bila terkena batang hidung sendiri, barulah aku tahu betapa hebatnya dugaan dan hasutan syaitan yang inginkan kami terus-terusan berbuat maksiat.

Masa berlalu dengan pantas, perkenalan yang pada mulanya berasaskan isu Islam, semakin hari semakin melencong kearah maksiat.

Di samping menceritakan agama, tanpa aku sedar, dia turut menggunakan agama sebagai wadah untuk menjeratku.

Betapa kerdilnya aku waktu itu kerana tidak dapat membezakan yang hak dan yang batil.

Bermula keluar bersama rakan, kami akhirnya berani keluar berdua-duan. Subhanallah, betapa hinanya aku di sisi Allah pada waktu itu.

Sehinggalah pada suatu hari, Rizal dengan beraninya menyatakan perasaannya padaku,

"Lia, abang sangat sayangkan Lia, abang tak sanggup kehilangan Lia, boleh tak kita bertunang dulu, nanti semua orang tahu yang Lia milik abang seorang, bolehkan Lia?"

Aku terkejut mendengar bicara dari Rizal, mana janjinya yang sanggup tunggu aku sehingga aku habis belajar.

Aku tahu mak ayahku takkan setuju.

Abang dan kakakku turut akan membantah. Aku cuba memujuk Rizal agar tidak meneruskan niatnya.

"Abang, bukan Lia tak nak, tapi abang tahukan keluarga Lia, mereka nak Lia menggenggam ijazah terlebih dahulu sebelum Lia berkahwin. Sementelah, mereka tak pernah tahu tentang kewujudan abang dalam hidup Lia,"

Aku berasa sangat berdosa kerana merahsiakan segalanya daripada pengetahuan ibu bapaku.

Setiap kali balik cuti semester, aku dianggap gadis yang sangat menjaga pergaulanku dengan kaum Adam sedangkan tanpa pengetahuan mereka aku selalu keluar dengan Rizal.

Mak, ayah, ampunkan anakmu ini.

Masa terus berlalu. Makin hari aku semakin hanyut dengan kebahagiaan dunia. Tanpa aku sedari, Rizal mengambil kesempatan ke atas diriku.

Sedikit demi sedikit aku mula rasa gembira kerana terasa disayangi, walhal tiada cinta yang sejati pun dalam hati Rizal buat diri ini.

Aku mula mengabaikan pelajaranku, mula menjauhkan diri dari rakan-rakan yang menasihatiku dan mula membuat perkara yang bertentangan agama.

Tanganku dibiarkan berada dalam genggaman lelaki yang tidak halal buatku.

Pada mula-mula aku mengelak namun dek kerana hanyut dan alpa dengan cinta palsu, aku mula tidak mahu berpisah dengannya.

Kami sama-sama menyulam cinta haram yang terasa indah di dunia.

Aku nekad untuk terus berada di samping Rizal dan ingin menyatakan niatku untuk bertunang dengan Rizal pada cuti semester kali ini.

"Mak, Lia nak cakap dengan mak sikit boleh tak?"

"Ada apa Lia, mak tengok kau dah banyak berubah sejak balik ni, kau selalu bergayut dengan telefon, sampai jarang dah nak tolong mak kat dapur ni,"

Aku tersentap dengan teguran mak.

Aku selalu nak tolong mak kat dapur tapi sayang nak lepas mesej dengan Rizal.

Kalau aku lambat balas, dia mesti merajuk, betapa bodohnya aku pada waktu itu kerana mendahulukan Rizal berbanding kedua ibu bapaku.

"Mak, Lia dah ada pilihan hati Lia, dia nak masuk meminang Lia, waktu cuti ni,"

Dalam takut aku gagahkan diri menyatakan niat di hati tanpa menelaah hati ibuku yang mungkin terguris dengan tindakanku. Ibuku sangat terkejut..

"Praaaaaaaaaaaag!"

Berkecai pinggan kaca yang makku pegang. Muka makku berubah dan sangat terkejut dengan permintaanku.

"Lia, kau sedar tak apa yang kau cakap ni, kau baru sangat kat Kuala Lumpur tu, mak hantar kamu suruh belajar, bukannya cari lelaki kat sana. Kenapa tak sabar sangat ni, Lia yang mak kenal dulu tak suka bergaul dengan lelaki,"

"Mak, Lia sayangkan dia mak, Lia tak sanggup kehilangan dia,tolonglah mak, tolong beritahu ayah,"

"Ya Allah, Lia, kau sedar tak apa yang kau cakap ni nak, kalau kau bertunang sekarang, macam mana dengan pelajaran kau? Kak Ngah dan Abang Cik pun tak kahwin lagi walaupun dah kerja. Kamu yang masih belajar ni, dah tak sabar-sabar nak berlaki. Kau cubalah cakap sendiri dengan ayah, mak tak sanggup."

Batu besar bagaikan menghempap di bahuku. Pastinya ayahku tidak setuju sedangkan ibuku sendiri membantah. Aku mula memikirkan cara untuk memujuk ibuku. Malam itu juga aku berbincang dengan Rizal.

Tut..tut.. cepat saja Rizal membalas mesejku.

Rizal cuba bermain kata denganku. Dia sedaya upaya memujukku agar menjadi anak yang derhaka pada ibu bapa.

Itukah yang diajar Islam dalam memilih calon suami?

Namun aku lemah tersungkur pada perasaan sendiri yang tidak mampu memperjuangkan yang hak berbanding batil.

Keesokannya, aku cuba utarakan lagi niatku pada ibu.

Namun, di luar pengetahuanku, ayah terdengar perbualan kami, ayah sangat terkejut dengan permintaanku. Wajahnya bertukar merah.

"Apa yang Lia cakap ni, ni ke yang Lia dapat lepas ayah dengan mak hantar Lia dekat Kuala Lumpur tu? Lia tak pernah rapat dengan mana-mana laki, sejak jauh dengan mak ayah, Lia dah jadi macam ni, kenapa Lia?"

Aku gugup untuk meluahkan kata-kata. Namun kugagahkan diri untuk meluahkan demi kasih dan cintaku yang tidak bertepi buat Rizal.

"Ayah, Rizal budak baik ayah, dia dah lama kenal Lia, kami sama-sama sayang dan Lia tak boleh kehilangan dia,"

"Lia! Kenapa kau dah banyak berubah ni. Lia tak pernah membantah cakap ayah sebelum ni. Sejak kenal dengan lelaki tu, dah mula pandai bela dia ye,"

Mak cuba menenangkan ayah yang sudah mula naik angin denganku.

"Ayah, Lia sayangkan dia sangat-sangat, tolonglah setuju ayah. Lia nak restu daripada mak ayah je."

Paaaaaang! Satu tamparan mengenai pipiku. Pertama kali dalam hidupku dapat tamparan dari ayahku. Aku benar-benar telah menguji kesabarannya.

Aku terus berlalu meninggalkan ayah dan ibuku. Aku menangis tersedu-sedu sambil mengadu pada Rizal di dalam bilik.

"Lia, jangan menangis sayang, kalau sayangkan abang jangan menangis ye, abang taknak dengar Lia menangis lagi,"

"Habis Lia nak buat macam mana bang, mak ayah tak setuju dengan pertunangan kita,"

"Lia sayangkan abangkan, dengar cakap abang baik-baik k,"

"Apa dia bang,"

"Lia tak nak kehilangan abang kan, Lia kemas barang Lia malam ni, abang datang ambik Lia malam ni, Lia keluar dari rumah tu, Lia taknak kehilangan abang kan,"

Aku terkejut dengan permintaan Rizal. Subhanallah, aku berdepan dengan pilihan samada untuk memilih ibu bapa atau Rizal.

Gerak hatiku ingin memilih mak ayah, namun hasutan syaitan lebih dahsyat, aku hanya mengiakan sahaja kerana terlalu ikutkan darah muda.

Tanpa memikirkan hati mak ayah yang mungkin terguris dengan tindakanku, aku nekad mengemas barang untuk keluar rumah malam tu juga.

Dalam keadaan terhenjut-henjut aku cuba keluar dari bilik yang sejak tadi aku kunci.

Namun, dengan kuasa Allah, aku terserempak dengan mak di muka pintu dapur sewaktu mak baru sahaja ambil wudhu' untuk sembahyang.

"Lia, Lia nak pergi mana ni dengan beg ni, tengah-tengah malam ni, Lia nak tinggalkan mak ayah ke? Lia sedar tak apa yang Lia buat sekarang ni?"

Aku tersentap mendengar bicara emak. Pada waktu itu aku sangat buta dalam menilai kasih sayang mak dan ayah yang telah banyak berkorban buat aku selama ini.

Mak menangis mengenangkan tindakan aku, mak merayu agar aku tidak meninggalkan rumah pada malam tu.

"Lia, tolonglah jangan tinggalkan mak Lia, mak sayang sangat kat Lia, jangan buat mak dengan ayah macam ni nak,"

Mak menangis tersedu sedan. Ayah yang sedang tidur terjaga mendengar tangisan emak, aku lantas bergegas keluar dari rumah agar tidak terserempak dengan ayah.

Cinta yang terlalu agung buat Rizal telah membutakan hatiku dalam menilai kaca dan permata.

Sedang aku berlari keluar dari rumah dengan dikejar oleh mak ayah, tanpa aku sedar, ada kereta yang laju dari arah bertentangan, kereta itu tidak sempat brek lalu mengenai batang tubuhku..

Dumm....!

Aku terdengar dentuman kuat lantas aku tidak dapat ingat apa-apa lagi yang berlaku disekelilingku. Segala-galanya menjadi hitam dan kelam.

..................................................................................................................

Eh, aku kat mana ni, masjid? Ramainya orang dekat masjid ni? Subhanallah, cantiknya masjid ni, diperbuat daripada Kristal dan disadur dengan mutiara.

Sangat indah. Inilah pertama kali dalam hidupku, aku melihat masjid yang sangat indah struktur binaannya.

Semua jemaah memakai telekung putih manakala jemaah lelaki memakai jubah warna hijau. Ramainya orang..

Aku mula masuk ke dalam masjid, tulisan khat yang sangat indah memenuhi ruang dalam masjid.

Ruang yang sangat luas, besar dan maha indah. Aku terpukau dengan keindahan masjid tersebut.

Aku mula ke satu ruang yang dipenuhi orang, tiba-tiba seorang wanita tua yang bersih wajahnya memberikan aku senaskhah Al-Quran serta senaskhah hadis, aku mula mengambilnya.

Subhanallah, Quran itu sangat cantik. Aku tidak pernah melihatnya dijual di mana-mana kedai, betapa aku sangat beruntung pada hari ini kerana melihat peristiwa yang aneh lagi indah.

Aku takkan lupakan saat itu. Aku mengangkat kepala untuk mengucapkan terima kasih kepada wanita tua tersebut, namun dia sudah berlalu meninggalkanku.

Aku cuba mencari kelibatnya namun tidak jumpa.

Lantas aku pergi ke suatu sudut masjid tersebut lalu aku membaca Al-Quran. Tiba-tiba ada seseorang yang mendekatiku lantas mengajarku membaca Al-Quran.

Subhanallah, suaranya sangat merdu, sayu dan dia menangis sambil membaca Al-Quran.

Betapa dia sangat memahami bacaannya. Aku sangat kagum dan berusaha untuk mencontohi sikapnya itu.

Wanita itu sangat aneh kerana selepas sahaja mengajarku tadabbur Al-Quran dia berlalu sebelum sempatku memperkenalkan diri dan mengucapkan terima kasih kepadanya.

Selepas sahaja selesai membaca Al-Quran, aku ingin pulang. Di tangan kananku ada Al-Quran manakala di tangan kiriku ada hadis.

Aku satukan di tangan kanan lalu aku keluar dari masjid tersebut.

Sepanjang berjalan, tiba-tiba aku melihat ada suatu bangunan yang sangat tinggi dan indah di hadapanku.

Namun semua orang berpakaian hitam. Semua lelaki dan perempuan berpakaian hitam.

Aku cuba masuk bangunan tersebut untuk melihat apa yang ada dalam bangunan tersebut.

Setelah berasak-asak, akhirnya aku dapat masuk ke dalam bangunan tersebut. Bangunan itu sangat gelap dan kelam. Aku bagaikan buta kerana cahaya yang ada sangat sedikit.

Aku cuba pegang kuat-kuat Al-Quran dan hadis di tanganku. Di tepi pintu utama kelihatan pemuda yang wajahnya sangat hodoh lagi menakutkan.

Aku mula takut kenapa aku berada disitu. Aku melihat sekeliling bangunan tersebut dipenuhi tanda salib.

Barulah aku sedar yang aku berada dalam gereja apabila aku lihat seorang paderi muncul di bahagian pintu masuk bangunan tersebut.

Aku mula menangis. Aku sangat takut. Aku mula berasa bahang berada dalam bangunan tersebut.

Aku cuba berjalan perlahan-lahan meninggalkan dewan tersebut. Dalam kesamaran cahaya, aku terlepas Al-Quran dan hadis dari tanganku. Aku cuba bertahan.

Peluh mula menitik dari tubuhku sewaktu aku cuba mengambil Al-Quran dan hadis di belakang pemuda yang hodoh di tepi pintu tersebut.

Aku berjalan terbongkok-bongkok dengan memegang kuat Al-Quran dan hadis tersebut.

Aku sangat bernasib baik kerana wanita tua yang berwajah bersih tadi datang membantuku keluar dari bangunan yang sangat gelap tersebut.

Tanpa kata, dia menarik tanganku keluar. Aku menangis teresak-esak dan badanku sangat menggigil mengenangkan saat cemas di dalam gereja tersebut.

Sekali lagi, wanita itu berlalu tanpa aku sempat mengucapkan terima kasih kepadanya.

Aku mula berjalan meninggalkan gereja tersebut. Aku berjanji takkan menjejakkan kaki lagi ke sana. Aku mula berpatah balik ke masjid yang sangat indah tadi.

Aku mula mengambil wudhu’ dan membaca Al-Quran dan hadis tadi. Aku sangat bersyukur kerana tuhan selamatkan aku sewaktu aku dalam kesulitan tadi.

Betapa aku menangis mengenangkan besarnya kekuasaanNya yang telah menyelamatkan aku dari terpesongnya akidahku dari agama kristian.

Sambil aku membaca Al-Quran, linangan air mataku tak henti-henti mengalir. Terima kasih Ya Allah kerana telah menyelamatkanku.

..................................................................................................................

Sedikit demi sedikit mataku dapat melihat cahaya yang menyilau di sekelilingku, di mana aku berada? Kenapa aku ada kat sini? Kenapa ibuku sedang menangis?

Kenapa adik beradikku semua ada kat sini? Benak kepalaku tidak dapat berfikir dengan baik.. Lantas, aku cuba mengangkat tangan tapi lenganku terasa sangat sakit..

"Emak, Kak Lia dah sedar, dia dah bergerak,"

"Lia, Lia dah bangun nak, mak sangat risaukan Lia,"

Ibuku menangis teresak-esak di bahu ayahku. Semua mata memandangku dengan pandangan yang suram.

Dengan suara yang tersekat-sekat aku cuba bertanya apa yang dah berlaku.

Ibuku menceritakan satu persatu apa yang dah berlaku. Bagaimana aku boleh kemalangan.

Rupanya orang yang melanggarku adalah Rizal, sekarang dia sedang ditahan oleh pihak polis untuk siasatan.

Aku mengucap panjang mendengar berita daripada ibuku.

Rupanya Rizal mendekatiku hanyalah sekadar untuk mempergunakan diriku.

Dia bertaruh dengan rakannya untuk mendapatkan aku. Dia hanyalah ingin mempermainkan diriku sahaja.

Setitik demi setitik, mutiara jernih mula mengalir laju dari pipiku. Aku masih beruntung kerana hanya patah kaki dan tidak mengalami kecederaan yang serius.

Aku memandang sayu ibu dan bapaku mengenangkan dosa-dosa yang telah aku lakukan pada mereka.

Betapa aku terlalu mengagungkan cinta yang tidak halal buatku dan mengenepikan cinta ibu bapa yang kudus lagi suci.

"Sabarlah Lia, jangan menangis lagi,mak dah ampunkan dosa Lia, anggaplah ini sebagai dugaan buat kita Lia,sabarlah nak,"

Ibuku berusaha untuk memujuk, bibirku masih lesu untuk berkata-kata, masih lemah, ibuku faham apa yang ingin aku sampaikan buat dia dan ayahku.

Aku menangis dalam pelukan ibu dan ayahku..

"Maafkan segala kesalahan Lia mak ayah, ampunkan Lia,"

..................................................................................................................

Sebulan selepas kemalangan tersebut, aku sudah mula berjalan dengan perlahan. Aku sudah dapat menunaikan solatku dengan sempurna tanpa perlu duduk lagi.

Aku sangat bersyukur pada Ilahi kerana masih memberi aku kesempatan untuk bertaubat daripada segala dosa dan noda yang pernah aku lakukan.

Tiap tiap malam, jika aku ada kelapangan, aku akan menunaikan solat sunat qiamullail, termasuklah solat sunat tahajud, solat hajat serta solat sunat taubat.

Hatiku tidak dapat menahan sebak di saat mengadu kepada Yang Maha, betapa kerdilnya diri ini di sisi-Nya.

"Ya Allah Ya Tuhanku, kau ampunkanlah segala dosa yang telah aku lakukan, dosa kedua ibu bapaku, dosa guru-guruku, dosa sahabatku, dosa muslimin dan muslimat.

Kau panjangkanlah usia kami, Kau rahmatilah kami Ya Allah, Lindungilah kami daripada gangguan jin dan syaitan Ya Allah, masukkanlah kami dalam syurgamu Ya Allah.

Kau berilah petunjuk dan hidayat kepada kami Ya Allah, serta janganlah kau palingkan hati kami setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami.

Ya Allah, diri ini hanyalah hamba yang lemah lagi hina, Kau suburkan cinta kami buatMu serta rasulMu. Bimbinglah hati kami ke jalanMu Ya Allah.

Berilah kemanisan iman kepada kami Ya Allah. Hanya padaMu kumohon pertolongan Ya Allah. Tingkatkanlah keimanan dan ketakwaan kepada kami Ya Allah.

Lapangkanlah hati kami, sucikanlah hati kami serta bersihkanlah jiwa kami Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Zaljalali wal ‘ikram.

Kau kasihanilah hambaMu ini Ya Allah, Kau kasihanilah hambaMu ini Ya Allah, Kau kasihanilah hambaMu ini Ya Allah.

Sejak kejadian itu, aku sudah banyak berubah dengan bantuan daripada keluargaku, terutamanya kedua ibu bapaku, sahabatku serta guru-guruku.

Aku sudah memaafkan kesalahan Rizal sementelah dia tidak pernah memohon maaf daripadaku. Lebih elok aku berlapang dada berbanding aku menyimpan dendam.

Aku sudah mula merasai kemanisan daripada taubatku.

Betapa jalan hidup yang aku pilih selama ini adalah jalan yang terpesong daripada akidah yang dituntut dalam Islam.

Aku sangat bersyukur kerana Allah masih memberi aku hidayah untuk kembali ke jalanNya.

Terima kasih Ya Allah ke atas keagunagan cinta yang Kau curahkan pada hati ini.

Terima kasih juga kerana telah memberi mimpi yang menginsafkan diriku.

Tidak sesekali aku lupakan mimpi yang memberi peringatan agar aku kembali ke jalanMu. Terima kasih Ya Allah.

Selamat Tinggal Sayang

Bacaan Yasin berkumandang di telinganya, tangisan keluarga mertuanya jelas kedengaran. Air matanya mengalir mencurah-curah.

'Maafkan abang, sayang. Selamat tinggal.' Ujar dirinya. Jelas terasa kekesalan di dalam jiwa.

'Bodohnya aku!' bisik hati lelakinya tetapi malang nasi sudah menjadi bubur. Hanya tinggal kekesalan selama-lamanya.

'Kalaulah abang boleh ulang, kalaulah...'

====================================================
Faris menghisap rokok lalu menghembuskan asapnya keudara. Segar. Best. Lega. Macam-macam rasa yang ada.

'Abang? Abang buat apa tu?' tanya isterinya Raihan yang sedang sarat mengandungkan anak pertama mereka.

'Ha? Abang hisap rokok.' Jawabnya bersahaja.

'Abang, tadikan kat sekolah ayang ada datang pihak dari hospital. Mereka ada buat ceramah tentang bahayanya rokok. Abang nak tahu? dalam rokok ada..'

Belum sempat Raihan menghabiskan ayatnya suaminya sudah pun memulakan ayatnya.

'Abang tahu, dalam rokok ada tar dan nikotin yang boleh merosakkan pelbagai benda alah dalam badan abang ni. Biarlah abang nak hisap rokok ke apa, bukan ayang mati pun nanti.' Ujar Faris, walaupun lembut tetapi apa yang diujarnya betul-betul menyakitkan hati Raihan

'Abang kata ayang tak mati? kalau ayang tak mati pun bahaya untuk anak kita tau!' Raihan berkata sambil melelehkan air matanya.

'Aish.. abang sendiri boleh jamin yang ayang dan anak kita takkan apa-apa. Percayalah.' Bilang Faris sambil mengusap perut isterinya itu kemudian menghapuskan air mata yang berada dimata isterinya.

====================================
2 bulan kemudian..

'Minta maaf tapi isteri encik keguguran. Dan kemungkinan besar isteri encik dah tak boleh mengandung.' Kata doktor selepas isterinya menerima rawatan.

Faris membawa isterinya kehospital setelah isterinya mengadu sakit perut. Baru tujuh bulan isterinya mengandung.

'Ha? Tapi kenapa doktor?' tanya Faris yang dalam keadaan terkejut.

'Hmm, kami sedang periksa apa yang menjadi masalahnya, jadi ia mungkin mengambil masa untuk dapat result. Saya harap encik dapat sabar. Terima kasih.' Kata doktor tersebut lalu meninggalkan Faris.

Faris masuk ke dalam bilik isterinya. Dia melihat isterinya itu sedang berbaring dan menangis. Mungkin sedih kerana mendengar berita yang
disampaikan sebentar tadi.

'Ayang..' Faris memanggil isterinya.

'Ayang janganlah nangis, tak ada anak pun tak mengapa, asalkan ayang selamat.' Faris memujuk isterinya.

'Uuhhuuuk.. uuhhhukk..' isterinya batuk dengan teruk, terdapat juga darah keluar dari mulut isterinya.
==================================

'Kami dapati isteri encik ada kanser dibahagian paru-parunya dan kanser itu telah menjejaskan kandungan isteri encik, itu yang membuatkan isteri encik keguguran.' Jelas doktor kepadanya.

'Jadi doktor, isteri saya boleh selamat tak doktor?'

'Minta maaf ya, tapi tahap kanser isteri encik sudah sampai ke final stage. Dah tak ada apa yang kami boleh lakukan. Minta maaf.'
Faris masuk kedalam bilik isterinya semula. Kesal terpancar dijiwanya lelakinya.

'Kanser? Sebab rokok ke?' tanya dirinya.
===================================

Jenazah isterinya ditatap, sekarang dia tidak punya apa. Tidak punya anak, tidak punya isteri, hanya ada rokok. Kau ambillah rokok itu teman hidup kau!

Kau biar rokok itu masak untuk kau! Kau suruh rokok itu cuci baju kau, belai kau dan bagai-bagai lagi. Sayang sangat kau pada rokok itu sampai isteri kau mati! Faris memarahi dirinya sendiri atas kesalahan dirinya selama ini.

Faris berjalan meninggalkan tanah perkuburan.

'Selamat tinggal sayang.' Bisik hatinya sambil menoleh kebelakang, 'dan selamat tinggal rokok!'

Katanya sambil membuang kotak rokok yang berada di poketnya ke dalam tong sampah berdekatan.

Cegah sebelum terlambat, anda mampu mengubahnya!

Hindari bahaya rokok dan ingatlah nyawa insan-insan sekeliling kita.

Saturday, 10 December 2011

Dia Lebih Tahu

Petang yang indah. Matahari seolah-olah mengalirkan cintanya melalui sinar-sinar cahaya perangnya, yang menembusi setiap sudut dunia, menyinari setiap ciptaan Ilahi.

Burung-burung menzahirkan cintanya, bertasbih memuji keindahan Yang Maha Indah. Pokok-pokok kelihatan seolah-olah tiang-tiang cinta, bersambung ke langit, menghubungkannya dengan bumi.

Namun begitu, keindahan petang itu tetap tidak dapat menghapuskan awan kelabu di hatiku pada petang itu. Aku duduk berbaring di atas katil, merenung siling bilikku. Hatiku resah. Petang itu kelihatan sangat suram.

*****

Sejam sebelum itu...

"Umar! Ke sini sekejap!" Panggil Puan Zubaidah.

Aku mengerling ke sekeliling kelas. Suasana di dalam kelas senyap sekali. Semua murid sibuk menyiapkan tugasan sejarah yang diberi oleh Puan Zubaidah, yang juga guru kelas ku itu.

Aku bangun dari kerusi, lalu perlahan menuju ke meja guru yang terletak di bahagian hadapan kelas. Aku duduk di kerusi yang bertentengan dengan guruku itu.

"Umar,"

"Err... ya cikgu?" aku kenal dengan renungan itu. Renungan yang menjanjikan berita buruk.

"Kamu dah tahu keputusan peperiksaan semester kamu?"

Nah. Soalan yang menakutkan.

"Err.. belum.. kenapa cikgu?"

Puan Zubaidah mengeluarkan sehelai kertas berwarna kuning. Transkrip keputusan peperiksaan.

"Tak megapa. Lihat dahulu."

Aku melihat kertas itu.

Terkejut!

"Tidak mungkin. Ini mesti salah orang."

Aku melihat namanya. benar. UMAR ASYRAFF BIN MOHD AMIRUL. Tetapi, bagaimana mungkin?

"Umar, sebenarnya cikgu lihat keputusan kamu sejak beberapa bulan ni agak merundum. Cikgu pun terkejut dengan perubahan keputusan kamu, tapi..."

"......"

"Cikgu tahu, kamu dah berusaha. Cuma, lepas ini, cuba lagi ya?"

"Baik, cikgu..."

*****

Aku bertanya kepada diri.

'Aku dah usaha kan? Kenapa masih tak berjaya? Aku study tak cukup ke? ke Allah memang tak bagi aku berjaya? Kenapa?'

Sedang aku sibuk merenung siling bilikku, berfikir, waktu itulah kebetulan abang Razif, murobbiku, datang menegurku.

"Assalamualaikum... kenapa muram je ni? Senyum lah sikit.. eleh... putus cinta ke? Haha"

Abang razif memang seorang murobbi yang ceria. Lawaknya sentiasa membuatku tersenyum. Aku sangat mengaguminya. Sebagai murobbi yang sangat prihatin, dia sering sekali menziarahiku. Paling tidak, seminggu sekali dia mesti menjejakkan kali ke bilik ini. Kebetulan waktu inilah dia datang.

"Waalaikumsalam. Eh, pandai jelah anta. Mana ada apa-apa, kan senyum ni? Hehe..."

"Tak payah nak cover dengan ana. Ada tulis kat dahi tu, 'sedang dilanda masalah', hehe gurau.. kenapa ini? Ceritalah."

"Hmm... ok lah... sebenarnya, tadi Puan Zubaidah panggil ana. Dia tunjuk result peperiksaan semester tempoh hari. Ana masih tak meningkat lagi. Ana tak fahamlah akhi, ana dah usaha penuh-penuh, tapi kenapa masih tak berjaya?"

"Oh.. akhi, ini ujian Allah S.W.T. anta ingat lagi tak ana cakap, Allah S.W.T dah kata dalam surah al-Baqarah, ayat 214. Orang beriman itu pasti diuji. Ujian itulah yang akan menentukan sejauh mana Iman anta."

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu Amat dekat." (al-Baqarah: ayat 214)

Murobbiku yang satu ini, kata-katanya selalu penuh dengan nasihat. Itulah juga punca mengapa aku selalu berkongsi masalah dengannya.

"Tapi.. ana dah usaha. Ana dah berdoa, ana dah tawakkal. Kenapa Allah S.W.Tmasih tak bagi? Sedangkan ana dah usaha habis-habisan dah ni."

"Akhi, anta berusaha untuk apa? Maksud ana bukan niat anta, tapi kenapa anta berusaha?"

"Untuk dapatkan result cemerlanglah. Kenapa?"

"Huhu... akhi, sebenarnya, kita tak boleh macam tu. kadang-kadang manusia berusaha dengan harapan dia akan dapat capai hajatnya atas usahanya. Mungkin itu sebab Allah tak bagi apa yang kita hajatkan."

"Maksud anta?"

"Kita tak boleh berusaha untuk capai apa yang kita hajati. Itu seolah-olah menunjukkan kita mengaku yang kita ni ada kekuasaan. Sebenarnya akhi, kita berusaha untuk menunjuk sahaja."

"Menunjuk?"

"Hehe.. Dengar sampai habis dulu... kita berusaha sebab kita nak tunjukkan kepada Allah, betapa kita inginkan apa yang kita hajati itu, tunjukkan kesungguhan kita kepada Allah. Sebab Allah yang akan bagi. Bukannya kita usaha untuk capai perkara itu. Bila Allah lihat kita bersungguh-sungguh menunjukkan kepadaNya betapa kita inginkan perkara itu, baru Allah akan bagi."

"Oh..."

"Hmm... lagipun, mungkin itu ada baiknya bagi anta. Think positive. Ingat surah al-Baqarah, ayat 216?"

"Diwajibkan atas kamu berperang, Padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. boleh Jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (al-Baqarah ayat 216)

"Tapi ana tak berjaya.. macam mana itu boleh jadi lebih baik pula?"

"Huhu..akhi. Nak dengar cerita tak?"

"Cerita ini tentang seorang ahli ikhwanul muslimin. Namanya hampir sama macam anta, Umar. Umar Tilmisani."

Umar Tilmisani ini, salah seorang hakim mahkamah tinggi, di Mesir. Dia juga adalah mursyidul am Ikhwanul muslimin yang ketiga. Seorang da'ie, seorang murobbi, yang sangat hebat. Dia sangat hebat, sampai dikatakan dia itu, meninggalkan kesan positif pada setiap orang yang pernah berhubungan dengannya.

"Hebat betul orangnya."

"Hehe. Anta nak tahu tak bagaimana dia ini, boleh tertarik dengan Islam? Tertarik dengan ikhwanul muslimin?"

"Dia asalnya bukan Islam ke?"

"Eh, dia Islam. Cuma mula-mulanya tu, Islam pada nama. Anta tahu kan?"

"Oh.. ok, sambung cerita."

"Pada masa itu, Umar Tilmisani ini hendak menghadiri perbicaraan. Jadi dia nak naik keretapi dari Kaherah ke Iskandariah."

Dalam pada dia tengah menunggu tu, dia terlihat kelibat seorang tukang sapu. Dia tengok, tukang sapu itu menyapu dengan penuh keikhlasan. Dia tertarik melihat peribadi seorang yang begitu mulia itu.

Dia pun pergi dan bertanya kepada tukang sapu itu. Tukang sapu itu pun menceritakan kepadanya, tentang Islam. Umar Tilmisani ini pun kagum dengan akhlak yang ditunjuk oleh tukang sapu itu. Akhirnya, Umar Tilmisani ini, ikut halaqoh dengan tukang sapu itu."

"Wah, hakim mahkamah tinggi, ikut halaqoh dengan tukang sapu?"

"Ya. Anta bayangkan, betapa hebatnya tukang sapu itu. Padahal bukan sesiapa pun, cuma tukang sapu. Tapi anta lihat, sampai boleh halaqohkan hakim mahkamah tinggi. Maksud ana tadi, kalau pun anta tak berjaya dalam akademik, don't be sad, mungkin ada kebaikannya akhi."

"Kita memang kena usaha, tapi kalau Allah tak bagi, maknanya Dia tahu apa yang lebih baik untuk kita. Mana tahu, suatu hari nanti, ana jadi tukang sapu macam itu? Haha...."

Tanpa disedari, air mataku menitis. Jatuh diatas kaki seluarku.

"Oh. Betul juga. Syukran akhi, tenang sikit hati ini."

"Bukan ana yang bagi. Ketenangan, Allah S.W.T yang bagi. Kalau anta rasa gelisah, ingatlah Allah. baca al-Quran ke. Sebab Allah dah janji Akhi."

"Hehe. Ana tahu. Surah ar-Ra'd, ayat 28. Kan?"

"(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (ar-Ra'd ayat 28)

"Pandai ikhwahku ini. Ok akhi, ana perlu beransur dulu, banyak assignment tak siap lagi. Ada masa ana datang ziarah lagi, Insya-Allah. Kalau ada masalah, call atau datang je bilik ana ye."

"Syukran Akhi. Uhibbuka fillah."

"Uhibbuka fillah aidhon, akhi..."

Kami berpeluk.

"Assalamualaikum.."

"Waalaikumussalam..."

Abang Zarif pun keluar.

Aku merenung ke langit. Mujur keindahan tadi masih belum pudar. Kini hatiku tenang. Setenang langit petang yang mulai bertukar merah. Indahnya ukhuwah kerana Allah S.W.T, setiap kita saling menguatkan yang lain.

Kerana itulah Allah S.W.T menggambarkan orang yang beriman sebagai saudara. Setiap langkah dakwah, jika diambil bersama, pasti terasa lebih ringan. Itulah keajaiban ukhuwah fillah.

Aku bangun dari katil, lalu berwudhuk dan membuka al-Quran kecil milikku.

"Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Mengetahui, apa yang terbaik untukku, maka berikanlah yang terbaik. Aku redha dengan ketentuan-Mu, aku ikhlas dengan cintaku pada-Mu. Redhailah kehidupanku, Wahai Tuhan Yang Maha Penyayang..."

Jika takdirnya begitu sukar, yakinlah, pasti ada baiknya. Percayalah, kerana DIA lebih tahu!

Friday, 9 December 2011

Senyuman Di Sebalik Tangisan

Terik matahari memancar terus-menerus, seolah-olah sedang bersaing dengan si awan yang cuba meredupkan langit agar penghuni bumi dapat menjalani hari dengan suasana yang tenang sambil merasai sepoi-sepoi angin yang mencium.

Kakiku melangkah dan terus melangkah. Hari itu hari istimewa buat adikku, hari jadinya. Aku sungguh gembira, adikku semakin membesar. Sungguhpun begitu, kegembiraanku ditepis oleh kelesuan dan kepenatan badan, aku tidak mampu berjalan di bawah terik matahari yang memancar sebegini.

Aku tidak kuat. Akan tetapi, aku mencuba sedaya upayaku. Kebiasaannya, ibu menjemputku pulang dari sekolah, tetapi bukan untuk hari istimewa ini. Aku faham, ibuku mungkin sibuk melayan adikku. Jadi aku akur.

Aku membelikan adikku hadiah hari jadinya. Aku pasti dia suka. Walaupun, duit yang aku guna merupakan duit simpanan untuk menjalani rawatan, aku tidak kisah semua itu. Yang penting adikku. Kupeluk erat hadiah itu kerana hujan renyai tiba-tiba membasahi bumi. Aku mempercepatkan langkahku.

"Assalamualaikum..." Aku memberi salam lalu memulas tombol pintu.

"Kakak balik! Yeay! Yeay!" Adikku berteriak.

"Tapi... ibu kata kakak ada kelas tambahan. Awalnya kakak balik. Kakak balik naik apa? Kenapa kakak basah?" Bertubi soalan diajukan.

"Kelas tambahan? Kakak tak ada...." Aku kehairanan dan memberhentikan kalamku. Mungkin aku tidak seharusnya memberitahu perkara sebenar.

"Kakak balik dengan siapa? Jalan kaki ya? Kakak basah, kakak boleh demam tahu. Kenapa tak suruh ibu jemput?" Adikku menyoal lagi.

"Kakak.. Err.. Cuma tidak mahu susahkan ibu. Lagipun hari ni kan hari jadi adik kakak yang comel ni." Aku berkata sambil mengusap kepala adikku.

"Ini dia hadiah untuk kamu." Aku menghulurkan hadiah itu. Akan tetapi hadiahnya agak lembap.

"Maafkan kakak kerana tidak dapat melindungi hadiah itu dan... mungkin hadiah yang kakak beri tak semahal hadiah dari ibu." Aku berkata sambil memandang hadiah dari ibu untuk adikku.

"Samsung Galaxy tab.." Aku memandang hadiah itu. Sebenarnya aku juga mengimpikannya. Tetapi mungkin itu menjadi angan-anganku saja.

Adikku dengan rakusnya membuka hadiah itu.

"Waaaaaaaahhhhhh ! Buku trilogy inilah yang adik mahu. Adik bercadang membelinya. Tetapi kakak sudah membelikannya untuk adik." Adikku tersenyum riang.

"Terima kasih kakak! Adik saying kakak!" Adikku mengucup pipiku lalu mencubit pipiku yang agak berisi. Aku gembira kerana adikku menyukainya. Tiba-tiba kepalaku berdenyut. Sakit... mataku berpinar. Aku menggagahkan diriku ke bilik.

"Raudhah! Raudhah! Raudhah! Mari sini cepat!" Teriak ibu.

"Ya ibu! Adha datang ni.." Aku melangkah selajunya mendapatkan ibu.

"Raudhah, kamu jaga rumah ni. Kemas rumah ni, bukannya sepahkan. Ibu mahu bawa adik kamu keluar. Kami tak makan di rumah. Kamu masaklah apa-apa."

"Baik ibu..." Aku menjawab lemah.

"Heh.. Kamu ni kenapa? Penat semacam je. Macam orang baru balik berperang.." Ibu menyoal. Dahinya berkerut. Menakutkan.

"Saya cuma penat sikit saja ibu." Aku membalas.

Adikku Sarah meletakkan tangannya di dahiku.

"Ibu... Badan kakak panaslah bu.. Kesian kakak. Agaknya kakak demam tak?"

"Tak payahlah suruh kakak buat kerja rumah. Kesian kakak. Nanti kita boleh bungkuskan makanan untuknya. Ataupun kita boleh bawa kakak sekali. Kenapa ibu tak bawak kakak sekali?" Adikku menunjukkan rasa simpatinya.

"Sayang.. Kakak perlu belajar.. Lagipun, siapa yang nak jaga rumah ni? Kakak kamu kan baru balik sekolah. Kerja sekolahnya masih belum dibuat." Kata ibu kepada adikku.

"Kamu ni Raudhah. Takkanlah jalan ke rumah sejengkal pun nak demam? Ada Panadol di dapur. Makan je tu..." Kata ibu kepadaku.

"Ibu, kenapa ibu tak jemput kakak tadi? Kesian kakak. Dia balik hujan-hujan. Tak ada payung." Adikku bersuara.

"Ibu lupa. Ibu sibuk lagipun. Dahlah Sarah. Jom. Kita kan mahu jalan-jalan. Jangan dirisaukan sangat kakak tu. Dia saja je lembik." Ibuku menarik lengan adikku lalu terus meninggalkan rumah.

" Tapi......" Adikku memandang wajahku yang mula memucat.

Aku hanya mampu menghadiahkan sekuntum senyuman hambar. Mataku berkaca. Aku cuba menahan dan. Aku tewas. Manik itu turun selajunya.

Aku meninggalkan rumah yang sudah siap dikemas dan membawa diri ke pusara ibu kandungku. Aku memecut skuter pemberian ayah selajunya. Manik-manik jernih itu terus membasahi pipiku. Aku terkenang masa lalu. Saatku terpaksa merelakan hati untuk menerima ibu yang baru.

Saat itu.......

"Abi, Adha tak mahu ibu baru. Tak ada siapa yang dapat menggantikan Wardah Saadah. Bagi Adha, Umi tiada pengganti. Ummi tak pernah mati dalam hati Adha. Ummi sentiasa ada disisi Adha. Adha tak mahu..." Aku merayu sambil menangis.

"Adha, abi terpaksa..kalau diikutkan , abi pun tak mahu. Tetapi, siapa yang akan menjaga kamu saat abi tiada disisi kamu nak? Abi tak mampu. Abi ada misi. Masa abi padat sangat. Abi bukannya tidak mahu bawa kamu bersama, tetapi abi sibuk. Tiada siapa yang akan menjaga kamu." Ayahku memujuk.

"Adha, mahu ikut. Adha boleh bantu abi. Walaupun Adha tidak pandai soal selidik , Adha boleh bantu abi dengan cara lain. Adha boleh tolong jaga makan dan minum abi.." aku merayu lagi.

"Wahai anakku Raudhah Sakinah , abi mohon sangat-sangat. Kamu perlu faham keadaan abi. Kamu tinggal dengan ibu baru ya sayang? kamu mesti dengar kata ya nak.." Ayahku memujuk sedayanya.

"Hmm. Yalah. Adha faham. Tetapi, abi perlu janji, balik sekerap mungkin. Adha pasti rindukan abi.." aku terpaksa akur dengan keputusan ayahku.

Aku kembali ke masa kini. Aku seka airmata yang terus menerus mencium pipiku. Waktu itu, aku sudah pun berada di depan pusara arwah umi. Setelah membersihkan pusara umi, aku menatap pusaranya sahaja. Sekali lagi air mata itu jatuh. Air mata kerinduan.

"Umi.. Adha rindu umi...rindu sangat.."

Aku tidak sepatutnya menangis dan bersedih. Ummi sering mengingatkan aku suatu ketika dahulu.

"La tahzan Innalahha ma'ana. Jangan takut dan jangan sedih , sesungguhnya Allah bersama kita."

Saat itu, Umi menyeka air mataku. Umi menjadi tiang untukku terus kuat. Umi yang sentiasa mendorong aku. Tetapi hari ini aku tidak mempunyai tiang untuk aku terus tabah. Hanya Allah S.W.T sahaja tempat aku mengadu.

Sesampainya di rumah, telefon berdering. Aku segera mendapatkan telefon yang berdering.

"Assalamualaikum. Raudhah di sini. Siapa di ta......."

"Adha! Adik kamu!!!!!!! Adik kamu kemalangan. Ibu tak tahu nak buat apa. Adik kamu kehilangan banyak darah. Ibu bukan tidak mahu menderma. Tapi ibu takut tengok darah. Adha tolong ibu ya? Kamu kan sayang padanya."

Aku tergamam. Diam membisu. Lidahku kelu. Aku terkejut. Sangat. Sangat terkejut. Adakah benar? Jantungku seperti mahu gugur.

"Adha !!! kamu dengar atau tidak?"

"Ya ibu. Adha sanggup demi adik. Tapi setahu Adha, Adha masih bawah umur."

"Kita boleh merayu pada doktor." Kata ibu.

"Baiklah. Boleh ibu jemput Adha?" Aku bertanya.

"Alah, kamu datang sendiri ya? Ibu tak boleh tinggalkan adik kamu."

"Hmmm. Baiklah.." Aku terus meletakan gagang telefon dan segera menuju ke hospital.

30 minit kemudian aku tiba di hadapan pintu utama hospital. Aku terus berlari masuk ke dalam ruang hospital. Aku terlihat ibuku terduduk sambil menangis teresak-esak.

Aku segera mendapatkan ibu. Aku tatap ibu yang sedang menangis. Aku sebak. Terlalu sebak dan air mataku berjuraian jatuh. Aku pujuk ibu. Aku kuatkan semangatnya sedangkan aku juga lemah. Aku cuba tabahkan hati.

"Ibu.. jangan menangis. Adha yakin adik pasti selamat. Ibu bertenang ya.." Aku cuba memujuk.

"Bertenang? Adik kamu satu-satunya harapan ibu. Ibu terlalu sayang padanya." Ibuku membalas lalu terus menangis.

Aku terkesima. Kata-kata ibu menikam sukma. Berdarah lagi luka yang masih belum pulih. Saat itu aku sedar aku bukan sesiapa bagi ibu.

Aku meninggalkan ibu dan terus mendapatkan doktor yang merawat adikku. Aku melangkah longlai. Saat itu aku terlihat sekujur tubuh kecil terbaring lemah di ruang ICU.

"Adikku.. Sarah.. Bertahanlah sayang.. Kakak akan membantumu. Sabarlah sayang. Kakak datang." Aku berkata sambil air mataku mengalir.

Aku merayu-rayu supaya doktor menerima aku sebagai penderma. Bermacam-macam alasan aku berikan untuk mendapatkan persetujuan doktor.

"Doktor.. Saya merayu.. Terimalah saya sebagai penderma. Saya tidak mahu adik saya sakit. Saya tak sanggup melihatnya begitu. Hari ni hari jadinya. Saya mahu berkorban untuknya. Tolonglah saya doktor. Saya sanggup terima risiko di kemudian hari asalkan adik saya selamat. Saya tak mampu memberi ibu kebahagiaan. Seandainya adik saya tidak selamat pasti ibu akan jatuh sakit pula. Cukuplah selama ini saya hilang orang yang saya sayang. Saya tidak mahu kehilangan buat kali kedua." Aku merayu panjang lebar.

"Tolonglah doktor..." Aku sambung lagi.

Akhirnya doktor itu akur walaupun terpaksa.

"Saya sudah menasihati kamu. Kamu harus tanggung risikonya di kemudian hari. Kamu juga perlu mendapatkan ujian bertulis daripada ibu atau bapa kamu." Doktor itu memberi amaran.

Waktu itu hanya ucapan syukur dan tahmid yang dapat aku ungkapkan. Aku terlalu gembira walaupun aku tahu aku akan terima risiko yang tinggi.

Dua minggu selepas itu badanku menjadi lemah. Mungkin inilah risikonya. Aku tetap menggagahkan diri untuk ke sekolah kerana aku perlu menghadapi peperiksaan penting. Aku menghadapi SPM tahun ini. Peperiksaanku bakal tamat tidak lama lagi. Aku perlu terus kuat.

Saat itu, aku dapat rasakan hayatku sudah tidak panjang. Aku mahu menamatkan peperiksaan ini sebelum aku pergi.

Lama-kelamaan aku bertambah lemah. Wajahku pucat. Aku tetap tersenyum walaupun pada hakikatnya jiwaku sedang menangis menahan sakit yang tidak tertanggung.

Sewaktu aku sedang mengulangkaji pelajaran, adikku yang telah pulih datang menemuiku.

"Kakak... Kenapa kakak tipu adik? Kenapa kak?" Adikku tiba-tiba bertanya tentang perkara yang mahu aku lupakan.

"Errr... Kakak cuma..." Aku tidak tahu apa yang harus aku katakan.

"Kenapa kak? Kalau Sarah tahu kakak yang dermakan Sarah takkan terima. Sekarang ini kakak semakin sakit. Sarah tak mahu kakak sakit. Sarah tak mahu kakak mati! Sarah mahu beritahu ibu! Sarah tak kira !" Adikku mengugut.

"Sarah! Kalau Sarah sayangkan kakak Sarah kena rahsiakan perkara ini sampai masanya tiba. Sarah, kakak mohon sangat jangan dulu ya Sarah?Kakak tak sedia." Aku merayu pada adikku.

"Hmmmmmm... Sampai bila kak?Adik tak sanggup tengok kakak terus menderita. Adik sayangkan kakak. Sampai hati ibu mengaku dia yang mendermakan darah. Ibu kata ibu sayang adik. Tapi ibu tak sanggup berkorban untuk adik. Kakak, terima kasih. Adik bertuah sangat sebab dapat kakak yang baik hati. Adik sayang kakak!" Adikku memelukku seeratnya sambil menangis.

"Kakak pun sayang adik! Kakak janji akan jaga adik. Itupun kalau hayat kakak masih panjang." Aku membalas pelukannya. Aku sebak. Aku tahan empangan itu daripada pecah dan. Aku tewas.

Esok merupakan hari terakhir aku menduduki peperiksaan SPM. Waktu itu, aku rasakan seperti tubuhku tidak bertulang. Lemah sekali. Badanku longlai, tetapi aku gagahkan diri aku. Aku harus tempuhinya. Tetapi, seakan ada sesuatu yang cuba menghalang aku.

Aku bangun dari katilku, mahu berwuhuk. Badanku terhuyung-hayang, tidak seimbang. Kepalaku berdenyut, mataku semakin kabur, aku maju selanghkah dan terus...

Keesokan harinya, aku tersedar dari pengsanku. Mataku samar-samar melihat kelibat beberapa tubuh yang berdiri dihadapanku. Semakin lama, semakin jelas.

"Ibu, Adha kat mana ni?" Aku menyoal ibu yang berada dihadapanku.

"Kamu di hospital. Kamu pengsan semalam. Raudhah, maafkan ibu, kamu terpaksa menanggung semua ini. Ibu silap, ibu tak sanggup berkorban untuk adik kamu. Maafkan ibu nak. Maafkan ibu, sebab kamu terpaksa tanggung risikonya. Maafkan ibu juga sebab, kamu terpaksa mengambil peperiksaan di hospital. Semoga berjaya nak. Maafkan ibu." Ibuku berkata.


Gambar hiasan

"Ibu tak salah. Adha yang buat keputusan." Aku membalas. Sekurang-kurangnya, ada juga rasa sayang ibu kepada aku.

"Ibu pergi dulu ya nak. Kamu akan ditemani oleh pengawas peperiksaan ini." Ibuku berkata lalu meminta diri.

Tanganku terketar saat aku menjawab peperiksaan SPM. Ini merupakan kali pertama aku menduduki peperiksaan di hospital dan mungkin ini juga menjadi hari terakhir buatku.

Aku cuba sedaya upaya aku untuk menjawab soalan. Aku cuba menginati kembali apa yang aku pelajari sewaktu aku mengulang kaji semalam. Aku cuba memerah otakku namun aku menemui jalan buntu. Setiap kali aku memaksa otakku berfikir, kepalaku berdenyut kuat. Sakit, perit.

Aku cuba menahan sedayaku. Namun, sesekali aku tewas. Pengawas peperiksaan yang menjagaku memeberi dorongan kepadaku. Mungkin kerana rasa peri kemanusiaannya dan sifat prihatinnya, dia terus menerus memberi semangat kepadaku.

Aku seperti mahu menangis, tetapi aku tahan. Aku cuba untuk kuat. Aku menekup mukaku. Beristighfar dan berzikir. Aku teringat arwah ibu. Segala dorongan dan semangat yang arwah berikan padaku suatu ketika dahulu seolah–olah memebakar semangatku untuk terus berusaha. Satu demi satu kata-kata semangat muncul dibenak ingatan.

"Tidak ada lautan yang luas, lurah yang dalam, bulan yang tinggi dan jalan yang susah bagi orang yang mahu."

"Jatuh tujuh kali, bangunlah lapan kali. Terus berusaha dan kuatkan semangat. Cekalkan hati, yakin pada diri."

"Ummi...Adha akan buktikan pada ummi, Adha mampu lakukannya! " Aku bermonolog di dalam hati. Aku bertekad dan berazam.

Aku mengangkat semula kepalaku dan terus menjawab soalan yang masih tertinggal. Seolah-olah ada semnagat yang mendorongku.

Akhirnya aku berjaya menjawab semua soalan. Aku hanya mampu menarik nafas lega. Satu tanggungjawabku sebagai seorang pelajar sudah terlaksana. Walaupun aku tidak yakin aku mampu berjaya dengan cemerlang.

Hari peperanganku sudah berakhir. Kini , keputusan yang dinanti. Aku tidak yakin dan tidak pasti sama ada aku masih punya masa. Aku tak yakin, aku mampu bertahan selama tiga bulan lagi. Aku pejam mata serapatnya dan menadah tangan lalu menyusun kalam bersatu.

"Ya Allah, sesungguhnya engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ya Rabb, hambamu yang satu ini lemah, ya Tuhan. Aku mohon agar diberi sedikit kekuatan untuk aku menempuhi hidupku yang semakin singkat. Aku mohon ya Tuhan, Kau panjangkanlah sedikit lagi umurku, agar aku dapat memegang sendiri dan melihat sendiri hasil usaha aku selama ini. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui." Aku berdoa dengan penuh harapan.

Seminggu selepas aku dihospital, aku dibenarkan pulang. Aku semakin pulih walaupun pada hakikatnya masaku semakin singkat. Kata doktor, aku kuat. Beliau tidak menjangkakan aku masih boleh bertahan. Aku meminta agar doktor merahsiakan dulu tentang keadaanku yang sebenar. Walaupun pada mulanya dia tidak bersetuju, aku tetap memaksanya.

Hari demi hari , aku lalui dengan tangisan disebalik senyuman. Sakitku semakin perit. Aku cuba kuatkan diri. Akan tetapi, aku hanya manusia lemah yang menunggu saat-saat terakhir.

Dua bulan selepas itu, keadaanku bertambah parah, makin kritikal. Aku cuba selindung segalanya, tetapi, adikku selalu mengugut agar segera mendapatkan rawatan.

Sudahku nyatakan berulangkali, penyakitku tidak dapat diubati lagi. Masaku semakin singkat. Aku memberitahunya agar tidak terlalu memikirkan tentang keadaanku.

"Adik..doakan kakak ya. Agar umur kakak dipanjangkan sedikit. Kalau berkesempatan, kakak mahu tunggu kepeutusan keluar. Lebih kurang sebulan lagi. Doakan kakak ya dik.." Aku berkata sambil mengusap kepalanya.

Aku lihat manik-manik jernih mula mencium pipinya. Dia menangis teresak-esak. Wajahnya yang sangat comel itu membuatkan aku tersenyum. Pipinya merah. Sangat comel.

"Kakak..Adik tak mahu kehilangan kakak..Adik sayang kakak. Kenapa kakak seksa diri kak? Kenapa kakak rahsia dari ibu? Kenapa? Kakak tak sayang adik ke? Sampai bila perkara ini akan berlarutan?"Adikku mendakapku seeratnya.

Waktu itu, aku dpat rasakan hangat kasih sayang seorang manusia yang bergelar adik. Walaupun kami saudara tiri, keakraban kami melebihi segalanya. Aku rasa bersyukur kerana dikurniakan adik seperti Sarah.

"Adik..kakak minta maaf..kakak tak mampu jaga adik lagi..kakak tak larat..kakak rasa kakak dah tak kuat lagi.." Aku berbisik sendiri.

"Kakak..adik tahu..kakak kuat. Adik yakin, kakak boleh! kakak ada semangat untuk hidup yang tinggi. Jangan berputus asa. Walaupun sarah tahu, kakak pasti akan tinggalkan Sarah, Sarah tetap yakin, kakak masih boleh bertahan!" Adikku tiba-tiba bersuara lagi seolah-olah dia dapat membaca bisikan hatiku.

Aku tergamam. Adikku tahu isi hatiku. Aku terus mengeratkan lagi pelukan aku. Dia kurniaan Allah S.W.T yang sangat berharga dalam hidupku. Aku sayangkan adikku, Sarah.

Seminggu sebelum keputusan keluar, aku dimasukkan ke hospital. Waktu itu, tiada apa yang boleh diselamatkan lagi. Aku hanya menunggu waktu, menunggu saat untuk menyambut seruan-Nya.

Aku telah merelakan segalanya. Aku reda. Bagiku, kesedihan ini adalah tanda kasih, sayang, cinta dan rindu Allah S.W.T kepada aku. Kesedihan juga mengajarku erti kekuatan. Kekuatan seorang pengidap barah otak menjalani kehidupan dengan kesedihan hati yang terus menikam sukma.

Aku belajar erti kesabaran dengan Ujian Allah S.W.T yang diberikan kepada aku. Aku mengenal erti kecekalan hati dengan menerima segala suratan takdir. Aku mencari erti ketabahan dengan menempuhi segala pancaroba tanpa mengeluh.

Akhirnya, Allah S.W.T berikan aku kekuatan, kesabaran, kecekalan dan ketabahan.

"Allah tak akan beri apa yang kita mahu , tetapi Allah akan beri segala yang kita perlu."

Ibuku sudah mengetahui rahsiaku. Dia sudah ketahui segalanya. Pertama kali dalam hidupku, aku melihat dia bersedih, kerana aku.

"Adha..ibu minta maaf. Ibu sedar, ibu tak pernah prihatin terhadapa kamu. Ibu Cuma mengambil berat tentang adik kamu. Ibu silap. Walaupun kamu cuma anak tiri ibu, kamu tetap anak ibu. Maafkan ibu, Raudhah. Maafkan ibu, ibu tak pernah mengambil sikap ingin tahu setiap kali kamu jatuh sakit. Ibu berpendapat kamu hanya sakit biasa dan inginkan perhatian. Maafkan ibu. Ibu kejam! maafkan ibu nak.." Ibuku mengharapkan kata maaf dariku. Dia menangis semahunya.

Dalam kepucatan wajahku , masih ada lagi senyuman yang aku hadiahkan walaupun hambar, aku tetap ikhlas. Sebenarnya, apa yang diungkapkan ibu sangat bermakna bagi aku. Ungkapan ibu membuatkan aku terharu sekaligus membuatkan aku sebak.

Aku tetap tabahkan hati untuk tidak menangis, aku tidak mahu orang melihat aku sedih. Walau pada hakikatnya, hatiku menangis kerana sakit yang tidak mampu aku tanggung lagi.

"Ibu..ibu tak bersalah. Adha tak ambil hati pun dengan ibu. Ini keputusan Adha, Adha yang mahu merahsiakannya. Adha tak mahu ibu dan abi risau. Adha tak mahu ibu abaikan adik. Adha sebenarnya mahu rahsiakannya dari semua orang, tetapi, adik Adha yang cerdik ni, pandai-pandai saja baca diari Adha. Adha juga minta adik rahsiakan dari ibu dan abi. Adha tak mahu melihat orang yang Adha sayang sedih. Adha tak sanggup. Adha lebih rela menanggung sakit ini, daripada melihat orang yang Adha sayang bersedih."

Tiba-tiba ayahku mencelah.

"Raudhah.. Abi juga minta maaf. Abi lalai dalam menjaga kamu. Abi minta maaf tak dapat jadi ayah yang terbaik untuk kamu dan Sarah. Abi terlalu sibuk dengan misi abi sampai lupakan anak abi yang sedang berperang dengan penyakit yang sangat menjejaskan kesihatan anak abi. Abi minta maaf.."

"Abi.. abi juga tak bersalah. Adha faham keadaan abi. Adha bangga sebab Adha ada ayah yang berjihad menolong mangsa kekejaman zionis. Adha tahu, abi merantau untuk menolong saudara-saudara seislam kita yang dalam kesusahan."

Setiap hari, setiap jam, setiap minit dan setiap saat aku menghabiskan saat-saat terakhir ku dengan berzikir, mengabdikan diri sepenuhnya kepada Sang pencipta. Aku menggagahkan diri untuk bangun mengerjakan ibadah wajib dan sunat.

Hari Isnin, 19 Mac 2009 merupakan tarikh keramat. Tarikh yang sangat bermakna buat semua calon sijil pelajaran Malaysia. Hari ini hari keputusan SPM diumumkan. Aku yang menunggu saat itu tiba bersorak gembira di dalam hati.

"Subahanallah! Alhamdulillah! Allahuakbar!" Aku bersorak di dalam hati.

Aku bersyukur kerana Allah S.W.T makbulkan permintaanku. Dia memanjangkan umurku lagi. Walaupun aku tahu, pasti saat untuk aku pergi itu semakin menghampiri. Aku tidak peduli, asalkan hari yang dinanti itu sudah pun tiba.

Aku menunggu ibu dan abi di hospital. Sambil menggengam warkah yang terakhir dari aku buat ibu. Aku menanti dengan penuh sabar. Hatiku berdegup kencang. Sangan berdebar.

Sedang aku asyik melihat berita tv tentang keputusan SPM , tiba-tiba pintu wadku terkuak. Aku melihat ibu dan ayahku memasuki ruang wad.

"Kenapa mereka seperti tidak gembira? Adakah aku?" Aku membuat andaian didalam hati.

"Ibu.. Adha tak lulus ke ibu..? abi..Adha tak cemerlang ya?" Aku bertanya cemas.

Ibu dan ayahku memandang wajahku yang pucat sedalamnya. Ku lihat ibu menangis terus. Ibu menggengam tanganku erat. Aku tak mengerti. Apa semua ini? Aku tak lulus ke? Bermacam-macam andaian aku buat.

"Adha.." ibu mula bersuara.

"Kamu lulus cemerlang sayang! sangat cemerlang!" Ibuku menyampaikan berita gembira.

Aku terkejut lalu terus menangis kegembiraan. Aku sangat bersyukur kepada Allah S.W.T, sekali lagi, Dia menunjukkan hikmah disebalik ujian yang Dia berikan.

Tiba-tiba, nafasku tersekat. Nafasku semakin sesak. Aku semakin nazak. Nafasku tercungap-cungap. Ibu yang cemas segera memanggil doktor. Lalu aku diberikan bantuan pernafasan.

"Raudhah, kamu bertahanlah sayang. Jangan tinggalkan kami lagi. Ibu belum berkesempatan untuk menebus kesalahan ibu kepada kamu. Jangan tinggalkan ibu dulu sayang"

Ibu meletakkan keputusan SPM ku di dalam genggaman tanganku. Ku jeling sedikit, lalu aku tersenyum. Aku mendapat 10A1. Aku sangat gembira. Walaupun aku tidak berkesempatan untuk meraikan kejayaan itu lebih lama, aku tetap bersyukur.

" Ibu, abi dan Sarah..." Aku memanggil lemah.

"Adha rasa Adha tak kuat lagi. Adha tak larat lagi. Adha betul-betul rasa lemah. Adha tak boleh tanggung lagi. Adha rasa macam nak tidur.. Adha rasa Adha perlu berehat..Adha mahu berehat supaya nanti kita dapat meraikan kejayaan ini bersama-sama selepas Adha berehat." Aku berkata lemah.

"Adha..tunggu dulu sayang. Jangan pergi dulu. Kamu bertahanlah sayang."

"Kakak, jangan tinggalkan adik lagi! Kakak kata kakak nak jaga adik! Kakak tipu adik! Kakak jahat!" Adikku menangis sambil memukul lemah badanku.

"Kakak pergi dulu ya.. kakak minta maaf adik.." Aku bersuara lemah lalu menghembuskan nafas terakhirku. Wajahku yang pucat tidak berdarah itu menghadiahkan senyuman hambar yang terakhir sesaat sebelum aku pergi.

"Adha!!! jangan tinggalkan ibu nak! " Ibuku meraung. Ayahku sudah pun terduduk pabila melihat tubuhku yang tidak bermaya itu tidak lagi bernafas.

Warkah yang aku tulis buat ibu itu terjatuh. Lalu ibu mengambil dan membacanya.

"Ibu.. terima kasih.. sebab pernah sayang pada Adha, ibu, saat ini, pastinya Adha tidak lagi bernyawa. Adha tak mampu balas budi ibu. Maafkan Adha. Ibu, jagakan adik untuk Adha ya. Adha sayang adik. Adha juga sayangkan ibu dan abi. Ibu, Adha yakin, pemergian Adha ini pasti ada hikmahnya. Terimalah dengan lapang dada. Ini mungkin peringatan kepada kita semua supaya sentiasa bersedia menghadapi apa-apa jenis dugaan dengan sabar. Ketahuilah ibu, Adha tidaklah sekuat yang disangka. Adha juga manusia lemah. Manusia yang selalu kalah dan selalu berputus asa. Tetapi, Adha belajar mengenal erti kesabaran itu dengan sentiasa bersabar dengan ujian Allah. Adha percaya, setiap ujian itu, pasti ada hikmahnya. Allah menjanjikan kita sesuatu yang bermakna buat kita. Adha juga mendapat kekuatan untuk terus hidup daripada semangat dan kegigihan yang Adha cuba serapkan dalam diri. Arwah ummi pernah berpesan pada Adha, supaya menjadi seorang muslimah, mujahidah, muslihah dan seorang mukminah. Adha rasa Adha tak mampu jadi seperti harapan Ummi. Adha berharap agar ibu mampu mendidik Sarah menjadi seperti harapan ummi pada Adha dulu. Anggaplah ini permintaan terakhir Adha. Sekian saja dari Adha. Selamat tinggal ibu. Semoga diberkati selalu..." Anakmu, Raudhah Sakinah

Wednesday, 7 December 2011

Seindah Dulu

Aku suka perasaan ketika di sekolah. Hening, ketika petang menyinsing, akan terasa damainya ketika senja menyapa.

Nurul Aiman. Sedap namanya, apatah lagi akhlaknya. Gadis yang sering aku kagumi dan pandang tinggi. Bukan gadis, muslimah sebetulnya. Aku selalu memerhati sikap dan perwatakan yang ada pada dirinya, dari jauh sudut di hati. Sikapnya yang tenang, tapi tegas dan berhikmah terhadap lelaki.

Wajahnya ayu lembut bertudung labuh menyentuh, menyerlah iman di dada. Sopan, terlalu sopan. Malah, tenang. Melihatnya kadang membuatkan aku terasa suka. Dalam hati, aku selalu menyimpan seribu perasaan.

Di hujung waktu persekolahan, aku beranikan diri. Aku tinggalkan secebis pesanan. Memercikkan warna perasaan bersama segunung harapan.

Balasnya,

"Majdi, cinta itu ungkapan yang penuh hikmah. Alangkah ruginya jika ia hanya layu di janji lemah. InsyaAllah, janji Allah senantiasa untukmu. Berharaplah, berdoalah.

Yang solehah itu untuk yang soleh.

Bersabarlah, tahan atas semua yang berpura-pura. Atas semua yang sementara. Jika itu yang terbaik, maka Allah akan bantu. Sampai sini, tinggalkan semua yang tak perlu. Terus, terus kejar demi yang satu. InsyaAllah, sampai jumpa lagi ya."

Hingga satu saat, yang pasti akan sentiasa aku ingat. Waktu anugerah Allah diberi untuk dapat aku bertemu. Tanpa sengaja, tanpa diduga. Bersama temannya. Dia membicara perlahan.

"Majdi, insyaAllah. Nurul akan ke Amerika. Mengambil bidang ekonomi di sana. InsyaAllah, mengembangkan islam di sana. Doakanlah ya." Dia menutur perlahan.

"Kenapa Amerika? Kenapa tidak belajar sahaja di Timur Tengah? Atau berbakti mengkaji di bumi kita sendiri. Bukankah Amerika itu tempatnya, kata mereka seakan neraka? Kenapa perlu menyinggah di sana?" Aku tertanya, hairan menerpa. Ingin tahu, amat ingin tahu.

Dia tersenyum.

"Tak mengapa. Di sana, ilmunya banyak. Di sana ilmunya hebat. Biarlah. InsyaAllah. Iman, Nurul akan cuba menjaga sebaiknya."

Waktu itu yang memang akan aku ingat. Sampai bila-bila.
*****************

Petang itu damai. Sedamai bunga yang asyik melambai. Sehingga aku kadang-kadang lalai melihat. Sungguh, Allah Maha Hebat.

Aku baru selesai membaca al-mathurat bersama rakan sepejabatku, Rahman di surau office. Dialah rakan seusrahku, dan dialah sahabat baikku. Alhamdulillah, bersamanya aku mudah untuk terus istiqamah membaca al-mathurat setiap hari.

"Majdi, jom makan!" Rahman mengajak.

"Isk, kamu ni. Asyik makan saja.." Aku menyakat. Ketawa sambil membetulkan blazer hitamku yang sedikit terkeluar. Blazer itu aku gandingkan dengan kopiah hitamku yang selalu aku pakai, sengaja cuba menampilkan imej muslim profesional.

"Haha. Nak buat macamana? Kan perlukan tenaga juga nanti nak buat kerja." Katanya sambil ketawa kecil.

Aku ketawa. Sudah sampai di sini rupanya perjalanan hidupku. Dari bertatih, hingga kini, di alam pekerjaan yang menuntutku berusaha gigih. Tak mengapa, umurku masih terlalu muda, kata orang, masih segak bila dipandang mata. Jika tidak kata orang, aku yang berkata begitu.

Village Muslim Cafe menjadi pilihan. Kopinya di situ memang enak. Terlalu enak malahan aku selalu terbuai, didodoi haruman baunya.

Aku melamunkan fikiran, berfikir tentang pelbagai perkara. Masa dulu, dan masa akan datang. Malah tanggungjawab yang semakin menebal. Biarlah, aku bahagia dengan semua ni. Cuma, kadang-kadang aku teringatkan sesuatu. Seseorang.

"Majdi.."

Sebuah suara yang amat ku kenal.

Amat-amat ku kenal.

Aku berpaling.

Tersenyum. Berdiri seorang wanita. Ayu, lembut perwatakannya. Dengan baju yang seakan gaun putih yang kembang di bawahnya, serta lipatan kain yang membentuk bunga yang amat kemas hingga ke hujung lengan, dia benar-benar kelihatan anggun bersama pakaian begitu.

Pakaian yang seakan-akan buatan Inggeris. Di tangannya tersemat beg bimbit berbunga merah berjalur putih krim, dia memegangnya dengan tangan ke hadapan.

Rambut lurusnya lembut menutupi telinga dan sebahagian muka. Kadang-kadang ditarik sedikit ke telinga saat disapa dan dibelai angin. Ayu.

Dia tersenyum manis. Amat manis.

Aku mengamati.

Dan rasa terus menerpa, meresap menjadi sendu.

Seakan tak percaya.

"Nurul.. Nurul Aiman..?"

"Ya, saya..." Dia membalas lembut.

Nurul tersenyum. Senyumannya bergula. Sama macam senyuman dia waktu aku kenal dahulu, sewaktu dia di sekolah 8 tahun lepas. Tapi kali ni lain. Senyuman dia berteman, ditemani dengan mahkota lurus rambutnya yang dirapikan. Seakan watak Apple dalam cerita 'Le Gardenie' yang pernah aku baca.

Aku berdiri, bangun dan menghadapnya, meraikan seorang yang sudah amat lama aku tidak jumpa. Sudah 8 tahun. Yang amat aku rindu sebenarnya.

Masing-masing terdiam.

"Ermm.. Awak apa khabar?" Nurul membuka bicara. Membuka ruang mesra.

"Err.. Alhamdulillah, saya baik. Awak?"

"Baik, Sihat alhamdulillah. Lama tak jumpa kan? Saya baru sampai ke Malaysia semalam.."

"Erm.." Aku mengangguk, tersenyum leret sedikit.

Terdiam lagi. Masing-masing kembali melayan perasaan. Aku pun tak tahu apa perasaan aku sebenarnya saat ini. Aku gembira sangat bila dapat bertemu, tapi aku juga seperti mahu mengalirkan air mata. Aku seperti terbayang wajahnya yang dahulu, dan dia yang di depan aku sekarang.

Nurul melihat jamnya.

"Majdi, saya minta diri dulu ya. Ada yang perlu diuruskan.." Dia berkata perlahan sambil menunduk, mengambil secebis kertas dan pen.

Menarik kembali rambut yang jatuh tersusun ke telinga.

"Ambil ni. Kita jumpa ya?" Dia menghulurkan.

"Minta diri, assalamu'alaikum..." Nurul menghadiahkan senyuman harapan, dan berpaling pergi.

"Restoran Zahrah

0.900 pm "

Aku melihatnya pergi. Berjalan penuh sopan dan berhati-hati. Aku terasa seperti mahu menghalangi waktu dari terus berjalan.

"Majdi?" Rahman memanggil, mematikan lamunan.

"Siapa tadi?"

"Owh, tak ada siapalah. Kawan lama je.. Nanti aku cerita ya.." Aku membalas, kemudian menghirup nafas dalam-dalam. Amat dalam.

Nurul Aiman...

**********




Pen Parker berwarna silver itu dipusing-pusingkan di atas buku kerja hitamnya. Membentuk alur tulisan yang kadang dia sendiri tak faham. Entah apa yang dituliskan, Majdi pun tak tahu.

Dia sekarang berada di pantai Teluk Cempedak. Duduk melayan perasaan di atas kerusi kayu yang disediakan, di bawah pokok ru yang melindungi lembut. Menghadap laut yang berombak damai.

Majdi duduk termenung. Dia seakan ingin menangis, terlalu sebak dan sedih hatinya. Dia masih teringat Nurul yang satu ketika dahulu sopan manis dalam tudung labuhnya, langsung berubah kepada yang kini tetap anggun dan sopan, tapi dalam keadaan yang amat berbeza.

Dia masih tergamam, terkedu dengan apa yang berlaku hari ini. Hati nuraninya benar-benar sedih.

"Apakah yang menyebabkan dia berubah? Apakah pendirian dia yang dulu, aku amat kagum, sudah benar-benar bertukar..?" Fikirnya dalam hati.

Dia diam. Sengaja biarkan angin menderu, sekurang-kurangnya menghiburkan apa yang ada di jiwa.

"Kadang-kadang tak semua perkara yang kita suka, kita akan dapat Majdi.. " Rahman menyentuh bahunya perlahan, tersenyum.

Majdi mendongak.

"Rahman.." Majdi tersenyum. Rahman selalu begitu, hadir ketika sahabatnya berduka.

"Kerana itu kita tak boleh melepaskan ikatan kita bersama jemaah, bersama rakan-rakan, bersama ukhuwwah, bersama iman. Kadang-kadang, kita rasa diri kita kuat. Mampu untuk berdiri dengan sendiri. Tapi bila berseorangan, kita tak pernah mampu sebenarnya.."

Majdi tahu, Rahman merujuk kepada apa yang berlaku pada Nurul Aiman.

"Tapi, tak semestinya kita perlu berubah kan?" Majdi bertanya. Bertanya dalam hampa sebenarnya.

"Tak apa, bertanyalah, orang seperti mereka selalu rasa tak difahami. Dan kita selalunya tak mengetahui apa yang berlaku.. moga kita tak tak diuji seperti mereka.."

"Allah.. Tak pernah menguji hambaNya.. Melainkan mereka benar-benar mampu. Untuk kamu, dia, dan aku juga.." Perlahan Rahman mengulas lembut, memberikan satu keyakinan.

"Ya.." Majdi mengangguk faham, kemudian mengukir senyum perlahan. Dan malam ini, dia akan cuba sampaikan. Dari hatinya.
*********

Restoran Zahrah. Restoran tepi laut yang amat terkenal di Pahang. Bukan sahaja masakannya yang enak, malah susunan dan rekaan dalaman yang berjaya didekorasikan dengan amat baik sekali.

Meja-meja berwarna coklat keperangan di dalam restoran itu dihiaskan lagi dengan bekas kaca yang diletakkan di atasnya. Di dalam bekas kaca itu, terdapat coklat Forrero Rocher yang amat terkenal. Menambahkan lagi suasana dan rasa yang sedia ada.

Dan di hujung penjuru, kelihatan seorang wanita duduk menunggu. Dia mengenakan kemeja putih berlengan panjang berjenama Vincci, berlipat bunga di bahu dan leher. Dipadankan dengan skirt labuh hitam hingga ke bawah kaki. Wajahnya redup ditiup angin laut yang lalu dari tingkap yang sengaja dibuka.

Majdi masuk. Mencari-cari wajah yang dinantikannya. Nurul mengangkat tangannya yang gemalai, melambai perlahan.

"Silalah.." Nurul mempelawa mesra. Di sebelahnya di temani kakaknya. Juga berwajah hampir sepertinya, cuma kening lebih kecil dan dagu yang lebih runcing. Bertudung dan mengenakan kebaya berwarna krim cair.

Aku duduk, menghadap Nurul. Juga di sebelah tingkap yang terbuka. Di kejauhan, kelihatan bot-bot nelayan dan kapal-kapal yang berlabuh di perlabuhan.

"Erm, akak pergi ambil angin di luar kejap ya.." Kakaknya bangun, menunduk meminta diri dan berjalan keluar.

Masing-masing diam.

"Dah lama kita tak jumpa kan? Dah 8 tahun? Macamana kehidupan awak? Ok?.." Dia membuka perbualan sambil tersenyum.

"Alhamdulillah, beginilah.. Banyak benda yang dah berubah kan?"

Dia tertawa kecil.

" Everything is changed Majdi.."

"Tapi.."

"Tapi? "

"Tapi awak berubah terlalu banyak Nurul.."

"Erm.."

Nurul diam. Memalingkan wajah ke tingkap, melemparkan pandangan jauh ke laut. Amat jauh.
*********

"What are you doing with your frankly veil in this 'cold' class Nurul?"

Hahahaha!

Bederai satu kelas ketawa. Wajah Nurul menjadi merah menahan malu. Malu yang amat. Dan itulah dia di hari pertama kuliahnya di Universiti Califonia, Amerika Syarikat.

Begitu juga hari-hari berikutnya. Dia rasa semakin dipulaukan. Hanya kerana tudung yang dipakai. Pernah, dia cuba mencari teman meluahkan perasaan. Tapi apalah sangat yang dapat diluahkan jika semua kawan sepengajiannya dari Malaysia tidak ada yang bertudung.

"Ala, kau buka je lah. Mesti diorang senyap.."

"Erm, kau pun cantik. Kalau tak pakai tudung mesti lagi cantik.."

"Kita kat negara orang, bukan di Malaysia lagi.. Kena ikut cara orang lah.."

Dia menangis. Terasa berat keadaan yang menekan. Dengan kehidupan, dan perasaan yang tidak stabil. Pelajaran juga entah ke mana. Dia terngiang-ngiang kata-kata sahabatnya dulu.

"Kenapa Amerika? Kenapa tidak belajar sahaja di Timur Tengah? Atau berbakti mengkaji di bumi kita sendiri. Bukankah Amerika itu tempatnya, kata mereka seakan neraka? Kenapa perlu menyinggah di sana?"

Dia seakan-akan masih terdengar persoalan itu di benaknya.Pernah dia berhasrat untuk berpindah universiti. Tapi mengenangkan ibu bapanya yang bersusah payah semasa dia memohon ke sini, dia cuba menabahkan diri.

Sendiri. Terasing.

Hingga satu hari, pernah dia berjumpa dengan seorang pensyarah di situ. Dengan tujuan ingin membuat rundingan atas subjek yang amat kurang difahaminya.

Tanpa memandang wajahnya, lecturernya berkata. Kasar.

"As long as you still with your veil.. I don't wanna speak with u.."

Nurul terkedu. Tak sangka hingga tahap ini dia diperlakukan. Tak tahu apa yang dibenci sangat hingga jadi diskriminasi sebegini.

Dia jadi lemah. Dia seakan sudah hilang arah. Dia menangis semahu-mahunya. Dia benar-benar tertekan.

Amat-amat tertekan.

Dan esoknya..

Hadir seorang wanita, berambut lurus dan tersisir kemas. Memasuki kelas sambil melangkah malu..
***********

"Kembalilah kepada Nurul yang pernah saya kenal dahulu.."

Nurul berpaling, tersenyum lesu, memandang aku dalam-dalam, penuh makna.

"Ia tak semudah yang difikirkan Majdi.."

"Seandainya, saya dapat memutar masa kembali..."

Nurul mengeluh lesu.

"Awak masih ada masa, Nurul.." Aku tersenyum.

"Awak tahu Nurul. Wanita, ibarat coklat."

Majdi mengambil Ferrero Rocher di dalam bekas kaca di atas meja. Mengambil dua. Membuka satu. Plastik kuning keemasannya di buka sebaiknya.

"Coklat?"

"Ya, coklat. Coklat yang disimpan rapi. Terjaga. Yang senantiasa indah dan cantik dalam balutannya. Campaklah walau ia di manapun. Dan pasti, semua orang mengagumi dan menginginkannya..."

Majdi kemudiannya menjatuhkan keduanya ke lantai.

"Semakin ia berbalut, semakin ia terjaga. Dan seandainya diberi pilihan antara coklat yang sedia berbalut dengan coklat yang terbuka dan terjatuh. Pasti orang akan memilih.."

"Pasti orang memilih yang berbalut kan? Kerana yang terbuka itu sudah dicemari, sudah kotor, sudah tak berharga. Kan?" Nurul menjawab. Terus menunduk.

Riak wajahnya bertukar mendung.

"Dan saya adalah coklat yang kotor itu.." Wajahnya hampir menangis.

Aku tersenyum.

"Ya, mungkin orang akan pilih yang berbalut."

Aku kemudiannya mengambil coklat yang jatuh lalu kuletakkan di atas meja.

Aku tersenyum lagi.

"Tapi saya lain. Saya akan mengambil coklat yang lagi satu. Saya akan ambil dan saya akan basuh balik sebersih-bersihnya. Saya akan balut semula sekemas dan secantiknya. Dan selagi masih hidup, selagi punya masa. Saya akan menjaganya sebaik-baiknya sampai bila-bila.."

Nurul mengangkat kepala. Seakan tidak percaya.

Dan air mata pun mengalir..

Cinta itu Buta, Pekak dan Bisu

Hakim memerhatikan ladang kelapa sawit Syed Ariff yang saujana mata memandang. Berdiri di atas kawasan tanah yang agak tinggi, dia memutarkan pandangannya 360 darjah untuk melihat kawasan sekeliling. Masya Allah, Subhanallah, memang luas dan subur. Dia tahu, selama ini ladang Syed Ariff merupakan ladang yang termaju di daerah itu.

Tiada yang dapat menandinginya dan kekayaan Syed Ariff yang semakin hari semakin bertambah berkat ketulusan dan sikap pemurah Syed Ariff dengan semua insan tanpa mengenal pangkat dan kedudukan. Benarlah janji tuhan dalam firmanNya yang bermaksud,



'Sekiranya engkau bersyukur, maka kami akan menambahkan lagi rezekimu, namun sekiranya kamu kufur ketahuilah sesungguhnya azab Kami amat pedih'

5 tahun di luar negara membuatkan dia rindu dengan ladang luas ini. Kepulangannya kali ini adalah untuk selama-lamanya. Di sebelah kanan ladang ini, Syed Ariff telah memperuntukkan kawasan seluas beberapa ekar untuk dibuat kebun bunga dan Hakim belum pernah menjejakkan kaki ke situ. Dia berhajat untuk melawat kawasan itu juga.

Hakim menapak ke arah kebun bunga yang diwar-warkan oleh kebanyakan pekerja sebagai kebun tercantik yang pernah mereka lihat. Hakim perlu menilai sendiri semua itu. Dan anehnya, kata mereka, mereka tidak tahu siapa yang menjaga kebun itu sebaik dan secantik itu kerana penjaga kebun itu tidak pernah keluar di khalayak. Dan Hakim merasa bertambah aneh apabila tiada sesiapa dibenarkan berada berdekatan dengan kawasan kebun itu di waktu malam.

Hakim teruja untuk menyelidik sendiri hal itu. Benarkah begitu? Kenapa mesti bersembunyi?

Hakim semakin menghampiri kawasan itu, dan dia terserempak dengan seorang lelaki separuh umur yang sedang membawa cangkul di bahunya.

"Assalamualaikum syeikh," tegur lelaki tua itu dengan wajah yang berseri-seri.

Hakim terpegun melihat keceriaan di wajah itu seolah-olah dia tidak pernah bersusah.

"Waalaikumussalam. Pakcik siapa?" tanya Hakim ramah. Lelaki tua itu tersenyum, keikhlasan terpancar di segenap wajahnya.

"Saya pekerja di sini. Syeikh siapa?"

"Saya Syed Hakim, anak Syed Ariff," jawab Hakim, perlahan. Tidak mahu riak terselit dalam bicaranya.

"Oh, yang baru pulang dari luar negara tu?" ujar lelaki tua itu sendiri dan perlahan. Hakim cuma tersenyum. Tiada apa yang patut dibanggakan baginya.

"Alhamdulillah pakcik. Ada rezeki saya," ujar Hakim.

"Betul, rezeki manusia ada di mana-mana, terpulang bagaimana kita mencarinya," ulas pakcik itu.

"Siapa nama pakcik?"

"Saya Habibullah. Panggil Pak Habib saja," jawabnya beserta senyuman di wajahnya.

Hakim mengangguk sendiri. Dia ini 'Kekasih Allah'. Dia menyimpulkan.

"Pak Habib baru di sini?"

"Ya, saya bekerja di kawasan ini, di sekeliling kebun ini."

"Oh begitu. Boleh saya tanya? Siapa yang menjaga kebun ini? Dengarnya dia tidak keluar dikhalayak. Kebun ni juga ditutup di waktu malam. Pak Habib tau mengenai hal ini?" tanya Hakim.

Pak Habib diam, seakan-akan memikirkan sesuatu dalam. Dia merenung dalam mata Hakim sehingga membuatkan Hakim tertanya-tanya salahkah bicaranya sebentar tadi? Adakah dia telah mengguris hati Pak Habib tanpa disedari?

"Penjaga kebun ini tidak keluar bertemu orang kerana dia buta, pekak, dan bisu," jawab Pak Habib, lambat-lambat namun mendalam.

Hakim terdiam mendengarnya. Dia merenung wajah tua itu, mencari-cari sesuatu yang akan memberitahunya bahawa dia sedang dipermainkan namun wajah itu tetap serius, tenang dan ceria seperti tadi.

"Betul pakcik? Mana pakcik tahu?" tanyanya lagi, meminta kepastian.

"Syed Hakim, Pak Habib ada kerja. Minta diri dulu. Assalamualaikum."

Belum sempat Hakim memberi keizinan, Pak Habib telah berlalu meninggalkan Hakim termangu-mangu. Buta, pekak dan bisu? Biar betul? Pak Habib ni tipu ke apa? Hakim terus-menerus memikirkan kembali kata Pak Habib yang tadi. Masih tidak dapat menerima rasional perkara itu. Lama dia di situ, sebelum dia meneruskan langkahnya ke arah tujuannya sebentar tadi. Dia perlu tahu setakat manakah kebenaran kata-kata Pak Habib.

Semakin dia menghampiri, Hakim sudah dapat menghidu bau haruman bunga yang menyegarkan dan menusuk ke hidung. Wanginya tidak terkata. Kebun itu dibina di dalam sebuah ruang yang berbumbungkan dan berdindingkan jaring hitam. Ada pintu yang berupa celahan tanpa jaring yang dikhaskan supaya pengunjung dapat keluar dan masuk dari satu jalan sahaja.

Hakim sudah berdiri di hadapan pintu kebun itu dan dia melangkah masuk. Hakim terpegun seketika. Subhanallah, dia memuji-muji di dalam hati. Kebun itu begitu indah, benar apa yang dikatakan pekerja di situ. Bunga pelbagai jenis ditanam di situ. Pelbagai rupa dan warna juga bau. Ada yang tergantung, yang di tanam di atas tanah dan juga disusun di para. Pengunjung perlu mengikuti laluan yang dibuat khas yang dibuat disekeliling kebun itu.

Hakim berjalan mengikut langkah kaki, tiada apa yang melekat di fikirannya kerana yang dia tahu tempat itu ibarat syurga sekiranya ia boleh dianggap begitu. Fikirannya lapang selapang-lapangnya. Air terjun buatan yang kecil dan unik juga dibuat di beberapa sudut. Ada juga tanaman hiasan lain yang menghiasi sudut-sudut seperti bonsai dan kaktus. Serangga bertebaran riang. Rama-rama berterbangan riang tiada gundah.

Apa yang dia tahu, kebun itu ibarat taman bunga yang sungguh indah yang wujud cuma dalam khayalan. Keindahannya tidak tergambar, dan ada ketenangan yang mengiringi setiap inci indah taman itu. Siapakah yang menjaga kebun ini? Mustahil dia buta, pekak dan bisu. Kebun ini tidak mungkin terjaga indah sekiranya benar penjaganya begitu.

Hakim melepaskan lelah di bangku kecil yang disediakan sambil menghayati deruan air yang menjadi muzik menghiburkan pengunjung taman. Hakim memejamkan matanya, cuba menghayati keindahan taman itu dengan segenap inci akalnya. Tenang dan damai. Itulah rasa yang meresap jauh ke sehingga ke lubuk hatinya. Selama ini, bukan dia tidak pernah mengunjungi taman-taman bunga terutamanya semasa dia di luar negara. Hampir semua taman bunga yang ada dia telah kunjungi namun taman ini sungguh berbeza.

Ada sesuatu yang mengiringi keindahan taman ini, sesuatu yang dia sendiri tidak pasti apakah itu. Dia mesti mencari penjaga kebun ini.

Mesti.

Hakim memasang tekad di hati, sambil memerhati seekor labah-labah kecil meniti atas sekuntum bunga mawar. Mawar indah.


"Abi, Hakim nak tanya sikit," Hakim memulakan sebaik mereka selesai solat isyak berjemaah malam itu.

Syed Ariff mengangkat muka, memandang ke wajah anak lelaki sulungnya. Anak yang menjadi penguat semangatnya sejak kematian isteri 10 tahun yang lalu. Anak yang menjadi kebanggaannya.

"Apa dia?" lembut dan tenang suara itu berbicara.

Hakim menunduk. Berat mahu memulakan. Akankah dia mendapat jawapan kepada persoalannya?

"Abi, Hakim dah melawat kebun bunga abi," Hakim memulakan.

Dia menelan liur. "Ya? Apa pendapat Hakim?"

"Taman itu taman yang paling cantik dan tenang yang Hakim pernah kunjungi. Hakim tertanya-tanya apakah yang membuatkan kebun itu istimewa walhal luarannya sama seperti kebun yang lain," ujar Hakim, memberi pendapat.

Syed Ariff mengukir senyum nipis. Reaksi itu sudah dijangkakan. "Jadi? Apa yang Hakim nak tau?"

"Err, Hakim ada bersembang dengan Pak Habib dan Hakim tanyakan pada dia, siapa penjaga kebun tu."

"Apa jawab Pak Habib?"

"Katanya, orangnya buta, pekak, dan bisu. Betul abi? Dan sebab tu dia tak pernah keluar di khalayak."

Syed Ariff tersenyum lagi. "Betul, dia buta, pekak dan bisu," Syed Ariff mengiyakan.

Hakim tergamam. "Tapi macam mana dia boleh jaga kebun itu seindah dan sebaik itu kalau betul dia buta, pekak dan bisu?" ujarnya lagi, meluahkan rasa hairan yang berbuku di dada.

Syed Ariff mengukir senyum nipis lalu meletakkan tangan kanannya di bahu Hakim. Hakim tersentak sedikit kerana seakan ada sesuatu yang mengalir dari tangan ayahanda tersayang. Rasa kasih seorang ayah.

"Hakim, dalam dunia ni, ada sesetengah benda Hakim perlu cari sendiri jawapannya. Dan bila Hakim dah dapat jawapannya, mungkin Hakim tak pernah jangka yang Hakim akan memperoleh kebaikan dari situ. Siapa tahu, dunia ini dan ciptaanNya, penuh rahsia. Abi serahkan pada Hakim untuk mencari jawapan kepada semua ni. Bila Hakim dah tahu, beritahu abi."

"Tapi abi..."

"Ingat Hakim. Setiap persoalan pasti ada jawapannya dan jawapan itu lebih indah jika kita mengetahuinya dari usaha kita sendiri," Syed Ariff bingkas lalu melipat sejadahnya. Hakim masih di situ, memikirkan erti kata-kata ayahnya.




Hakim berdiri di beranda rumahnya yang tersergam indah dan mengambil sebahagian kecil tanah di ladang luas itu. Dia memandang ke langit, di fikirannya pertanyaan itu masih belum terjawab. Siapa dia? Siapa dia yang menjaga kebun itu sebaik itu?

Hakim membuang pandang ke kejauhan. Bagaimana caranya untuk dia mendapatkan jawapan kepada semua itu? Ilham Allah tercetus di minda secara tiba-tiba. Hakim teringat yang kebun itu menjadi kawasan terlarang di waktu malam. Mungkinkah dia keluar di waktu malam? Dan untuk mengelakkan pertembungannya dengan orang lain, para pengunjung dilarang ke situ pada waktu malam. Mungkinkah? Hakim tahu dia perlu ke situ untuk mencari jawapannya.

Dia mencapai kunci motor dan dia melangkah keluar dari rumahnya. Syed Ariff yang sedang membaca akhbar tersenyum sendiri melihat Hakim yang tergesa-gesa keluar. Syed Ariff mencapai telefon lalu didailnya nombor seseorang. Sebentar kemudian, terdengar bicaranya.

"Habib, Hakim dah keluar. Perhatikan dia," ringkas tapi penuh makna.

Hakim menyusuri lorong di ladangnya sehingga dia menghampiri tepi jalan yang akan membawanya ke kebun itu. Dia memberhentikan motornya lalu ditongkatkan. Langkah kaki diatur pantas namun berhati-hati bagi mengelakkan kakinya tersadung apa-apa di atas tanah. Dari kejauhan, kebun itu yang disimbahi cahaya dari lampu di luar dan dalam kelihatan bercahaya. Dan ketenangan itu meresap kembali.

Hakim semakin menghampiri. Dan tiba-tiba langkah kakinya terhenti apabila dia cuma beberapa langkah sahaja lagi dari pintu. Telinganya menangkap alunan sesuatu dan jantungnya berdegup kencang. Hakim terkedu. Alunan itu sungguh indah dan lagunya begitu meresap ke dalam jiwa. Bukan alunan lagu terbaru dari radio-radio, tetapi alunan ayat suci Al-Quran yang begitu indah dan menusuk sekali. Suara yang mengalunkannya juga kedengaran begitu tenang dan mendamaikan.

Seperti tiada gundah dan hidup ini begitu indah. Siapakah dia?

Hakim mengatur langkah perlahan, dia mahu bersemuka dengan empunya suara itu, dan dia tidak mahu mengejutkannya. Hakim melangkah masuk ke taman itu sambil matanya cuba mencari arah datangnya suara itu. Dia menapak perlahan sehingga matanya tertangkap kelibat seseorang yang berdiri di sebalik bunga-bunga Anggerik dan Orkid yang tergantung dalam jarak 5 meter darinya.

Matanya cuma dapat melihat separuh sahaja susuk itu kerana ianya terlindung dek pokok-pokok hiasan. Seorang perempuan seperti yang dia jangkakan. Alunan itu masih kedengaran dari arahnya. Memang dia yang mengalunkannya. Kali ini alunan itu lebih jelas. Alunan surah an-Nisa'.

Hakim mengunci bibir, menghayati bacaan itu. Mengamati susuk itu yang berkelubung dari atas sampai ke bawah. Kelihatannya dia sedang menyiram bunga dengan paip. Hakim tidak berani mendekat lagi. dia memeluk tubuhnya. Dan tiba-tiba, gadis itu berpusing menghadap ke arah Hakim. Hakim tergamam melihat seraut wajah itu yang bertutup sehingga cuma menampakkan matanya. Mata yang memancar cahayanya, menyilaukan ketenangan.

Gadis itu tidak menyedari kehadirannya. Masih leka menyiram bunga-bunga dan tumbuhan di situ. Suara itu masih kedengaran biar bibir yang mengalunkan tidak kelihatan. Hakim terkedu. Siapa dia?

"Hakim!" Hakim tersentak mendengar suara itu.

Gadis itu yang turut mendengar suara itu mengangkat matanya. Jelas dia terkejut dengan melihat Hakim. Alunan itu terhenti. Hakim memandang ke sebelah kanannya sebelum mengalihkan pandang ke arah itu kembali namun dia sudah tiada. Ke mana dia?

"Hakim, kamu buat apa di sini?" tanya Pak Habib.

Hakim termangu-mangu. Mencari-cari kelibat itu namun sudah tidak kelihatan. Dia tahu dia tidak bermimpi.

"Kamu cari siapa?" tanya Pak Habib lagi setelah soalan pertamanya terbiar sepi.

"Perempuan tu. Pak Habib kenal dia?" tanya Hakim. Matanya masih melilau ke segenap sudut yang kelihatan di mata kasarnya namun dia sudah menghilang.

"Perempuan mana?" Hakim terkedu. "Pak Habib, perempuan yang siram pokok tadi kat sana tu. Dia pakai purdah. Dia baca surah an-Nisa'. Takkan Pak Habib tak dengar tadi?" tanya Hakim tidak percaya.

Pak Habib memandang ke arah yang ditunjukkannya. "Tak pun, biar betul kamu ni. Kamu salah dengar kot," tingkah Pak Habib.

Hakim mengetap bibir, tidak puas hati. Tak mungkin. Memang dia ada.

"Dah lewat ni, pergi balik," arah Pak Habib.

Hakim diam, tidak tahu apa yang perlu dibalas. Masih keliru. Namun diaturkan juga langkah keluar dari taman itu dengan diikuti Pak Habib yang setia di belakangnya.

"Pak Habib, takkan Pak Habib tak Nampak dan dengar dia tadi?" tanya Hakim lagi, tidak puas hati.

Pak Habib mengerut-ngerutkan dahinya. "Apa yang kamu merepek ni? Dah lewat ni, pergi balik," arah Pak Habib lagi sambil menggesa Hakim ke arah dari mana dia datang tadi.

Hakim menggaru kepala yang tidak gatal. Dia pulang juga bersama tekad baru. Malam esok aku akan datang lagi.

Keesokan harinya, Hakim keluar lagi pada waktu yang sama dengan harapan dia dapat melihat kembali dan sekiranya berpeluang, dapat berbicara dengan gadis itu. Namun Hakim hampa apabila setelah lebih sejam dia menanti, suara itu tiada lagi kedengaran. Hakim tetap setia menanti sehingga lima malam berturut-turut. Hakim tahu dia sudah jatuh cinta. Di fikirannya terbayang-bayang sepasang mata itu. Di manakah kau? Adakah benar kau bidadari dan aku hanya mampu melihat kau di dalam bayangan sahaja?

Malam keenam, Hakim sudah mengalah. Dia pasti kini gadis itu hanya bayangannya biar akal warasnya menidakkan. Jika dia ada ke mana dia? Syed Ariff yang memerhatikan gelagat Hakim selama 5 malam itu menghampiri Hakim yang sedang mengelamun di atas sofa.

"Hakim, abi tengok Hakim resah saja sekarang. Ada masalah dengan pekerja?" Syed Ariff melabuhkan punggung di sisi Hakim.

Hakim melepaskan keluhan berat. "Abi, Hakim pun tak tau nak cakap macam mana."

"Cakaplah, insyaAllah, abi akan cuba fahamkan."

Hakim berdehem kecil. Bimbang dengan penerimaan ayahnya. "Hakim, ternampak seorang perempuan di taman bunga tu 6 malam yang lalu," ujar Hakim, memulakan bicara yang teragak-agak.

"Perempuan? Di taman bunga kita?"

"Ya abi. Tapi, sekejap saja. Dia siram pokok kita, sambil mengalunkan surah An-Nisa'. Kalau abi tengok dan dengar suara dia, Hakim percaya abi pun akan terkedu. Alunan dia sangat indah dan tenang, menusuk ke dalam jiwa. Seumur hidup Hakim, Hakim tak pernah dengar alunan seindah tu yang tidak ditujukan kepada pendengaran manusia. Maksud Hakim, alunan dia kedengaran ikhlas dan penuh penghayatan. Dan lagi satu abi, dia tutup seluruh badan dia kecuali mata dia," ujar Hakim bersungguh-sungguh.

"Ok, jadi, apa yang Hakim runsingkan sekarang ni?"

Hakim diam lalu menunduk. "Hakim dah tak jumpa dia dah."

"Kenapa Hakim cari dia?" tanya Syed Ariff lagi, cuba mencungkil rahsia hati anak bujangnya.

"Hakim rasa Hakim dah jatuh hati pada dia abi," luah Hakim terus tanpa segan silu. Syed Ariff mengangguk-angguk.

"Tapi, Hakim dah tak jumpa dia. Hakim pasti memang dia wujud?" tanya Syed Ariff lagi. Hakim menggelengkan kepala.

"Entahlah abi."

Syed Ariff tersenyum lagi. Dia menepuk lembut bahu Hakim. "Hakim, kadang-kadang, mata kita nampak benda yang kita nak lihat, telinga kita dengar apa yang kita nak dengar dan mulut kita berbicara apa yang kita mahu bicarakan tanpa memikirkan natijahnya. Hakikat cinta itu sebenarnya cinta itu buta, pekak dan bisu. Cinta itu buta kerana kita tidak akan pernah tahu siapa dia yang akan memperoleh cinta kita. Cinta itu pekak kerana cinta yang suci tidak mendengar bicara manusia yang rapu. Cinta itu bisu kerana cinta itu tidak akan pernah terluah oleh kata-kata yang sia-sia. Hanya orang yang bercinta merasakannya dan hanya orang yang benar bercinta dan ikhlas bercinta akan merasakannya. Ayat-ayat cinta yang selalu terluah di bibir manusia hakikatnya kebanyakannya adalah bertunjangkan nafsu semata kerana cinta sebenar adalah buta, pekak dan bisu. Pada abi, cinta sebegitu memang sukar ditemui. Hakim, jangan biarkan perkara sebegitu merunsingkan pemikiran Hakim. Dunia ini masih banyak tawarannya."

"Maksud abi?"

"Abi mahu meminang anak perempuan Pak Habib untuk Hakim. Syafiyya namanya. Hakim setuju?" ujar Syed Ariff terus tanpa berlengah.

Hakim menunduk. Mungkin itu yang terbaik dari hidup dalam bayangan. "Hakim ikut sahaja abi. Baik pada abi, baiklah pada Hakim," ujarnya tulus. Syed Ariff mengangguk-angguk.

"Kalau begitu, abi tidak mahu berlengah lagi. Dalam 3 bulan lagi, Hakim akan dinikahkan dengan Syafiyya. Hakim mahu berjumpa dia sebelum bernikah?" Hakim tersenyum. Menggeleng.

"Hakim percaya pada abi."

"Tapi dia buta, pekak dan bisu. Betul Hakim mahu?" Hakim terdiam.

Cinta itu buta, pekak dan bisu. Mungkin Syafiyya itulah cintanya. Jodohkan di tangan Tuhan?

"Hakim terima dia bukan kerana fizikalnya tapi kerana dia Syafiyya. InsyaAllah, jika semuanya kerana Allah, Hakim tidak akan menyesal. Hakim terima dia bagaimanapun keadaannya abi. Abi uruskanlah," ujar Hakim tenang. Syed Ariff mengangguk.

Hakim mengukir senyum nipis. Harapannya Cuma perkahwinan itu kelak dirahmati dan diberkati.




Hakim berdebar kuat. Sekarang, dia akan masuk ke dalam bilik pengantin perempuan untuk upacara pembatalan air sembahyang. Pertama kali dia akan menatap wajah gadis yang sudah sah menjadi isterinya sebentar tadi, Syafiyya. Langkah kaki diatur tertib masuk ke dalam bilik yang terhias indah.

Syafiyya menanti di sisi katil, berkelubung dengan selendang emas nipis, menyukarkan pandangan Hakim. Dia mendekati, gementar jemarinya mahu membuka selendang itu.

"Assalamualaikum," ucap Hakim biar dia tahu salamnya tidak mungkin didengar dan berjawab.

Selendang yang menutupi wajah itu diangkat dan mata bertentangan. Hakim terkedu.

Gadis di taman bunga!

"Waalaikumussalam," tutur seulas bibir itu perlahan namun menusuk. Hakim tergamam. Dia tidak buta, pekak atau bisu! Hakim memandang abi di sebelah, yang tersenyum dan mengangguk.

******** "Hakim, Syafiyya bisu kerana dia tidak pernah bertutur dengan orang lelaki lain selain Pak Habib. Dia pekak kerana dia tidak pernah mendengar kata-kata yang tidak elok. Dan dia buta kerana dia tidak pernah melihat yang tak elok di atas muka bumi ini," terang Pak Habib.

Hakim terdiam, jemarinya menggenggam erat jemari Syafiyya di sisi. Pandangan mata bertaut.

"Kami memang mahu menjodohkan kamu berdua namun tak sangka Hakim terlebih dahulu bertemu Syafiyya malam itu. Kerana itulah Pak Habib dan abi mengambil keputusan untuk tidak membenarkan lagi Syafiyya bekerja dan tarikh perkahwinan pun dipercepatkan," sambung Syed Ariff pula.

"Jadi dialah penjaga kebun yang buta, pekak dan bisu itu?" ujar Hakim sambil tertawa kecil. Genggaman jari mereka bertambah erat. Syed Ariff dan Pak Habib cuma tersenyum.

Hakim memandang wajah kedua-dua ayahnya. "Abi, ayah Habib, Hakim memang orang yang paling bertuah dan bersyukur kerana dikurniakan isteri dan cinta yang buta, pekak dan bisu. Doakan kami, supaya hubungan ini sentiasa dalam rahmatNya," ujar Hakim penuh pengharapan, sambil merenung Syafiyya yang tersenyum manis di sisi.

Dalam diam dia memanjat syukur kerana ikhlasnya menghadiahkannya seorang isteri yang sempurna iman dan luaran. Alhamdulillah...

AKU TANPA CINTAMU

AKU TANPA CINTAMU Lirik lagu nasyid, juga lagu layar keinsafan mungkin amat sesuai menggambarkan rasa keinsafan di hati Zayanah sekarang. Zayanah sering meratapi kekhilafannya dan merenung masa depannya yang gelap hasil perbuatannya sendiri.Tanpa diduga gadis yang selama ini amat menjaga batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan, prinsipnya yang dipegang teguh selama hidup di bumi Allah, hancur begitu sahaja kerana amat rapuhnya iman seorang perempuan yang bergelar remaja.

Tawaran untuk ke sebuah universiti awam di tanah air sedikit melegakan hatinya yang luluh kerana tidak dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Mesir. Zayanah tetap teguhkan hatinya untuk terlibat dalam bidang kejuruteraan. Dalam bidang kejuruteraan, sudah semestinya kaum adam lebih mempelopori bidang ini. Hati Zayanah sedikit cemas dan tidak selesa dengan keadaan barunya kini, kerana dia terpaksa bercampur dengan kaum adam untuk mencari ilmu. Namun dia percaya, selagi niat untuk mencari ilmu Allah dipegang, Allah akan melindunginya. Memang Zayanah mengakui, dia amat mudah tertarik dengan lelaki yang berpewatakan alim. Walaupun selama ini, Zayanah tidak pernah bergaul dengan lelaki, malah tidak pernah bercakap dengan lelaki, kerana dia memang dikenali dengan sifat pemalunya dan amat pasif semasa di alam persekolahan lagi, membuatkan ramai yang tidak berani untuk mendekatinya. Tetapi jauh di sudut hati seorang perempuan, dia inginkan kasih sayang seorang lelaki kerana dari kecil dia tidak pernah merasai kasih sayang seorang ayah malahan adik beradik lelaki kerana Allah lebih menyayangi abinya dan tiga orang abangya , yang meninggal akibat terlibat dalam sebuah kemalangan semasa Zayanah masih dalam kandungan umminya.

Perkenalannya dengan seorang senior lelaki atas dasar ingin menolong dalam pelajaran memusnahkan segalanya. Sidqi merupakan pelajar tahun akhir di universiti tersebut , berperwatakan amat alim dan banyak memberi nasihat kepada Zayanah, sedikit sebanyak telah menambat hati seorang mar’atus. Namun ketahuilah jalan menuju kepada perzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita melalui mana-mana jalan perzinaan. Iblis akan memerangkap anak cucu Nabi Adam as. Iblis amat berpengalaman dan tipu dayanya sangat halus. Ia telah menipu moyang kita yang pertama, Adam dan Hawa. Iblis amat licik. Ingat,pesanan Rasulullah : Janganlah engkau bersendirian dengan seorang wanita kecuali yang ketiganya, syaitan(Tabrani) . Kita amat lemah menghadapi tipu daya Iblis, lebih-lebih lagi pada zaman remaja. Memang pada awalnya tidak bersua muka, hanya bertanya khabar melalui internet, kemudahan teknologi kini banyak disalahgunakan pelajar sekarang, contohnya seperti Skype, YM, Gtalk dan sebagainya,

Tapi perasaan pasti bergelora, lambat laun desakan nafsu dan perasaan serta hasutan Iblis akan mengheret kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan terhenti disitu sahaja. Percayalah, ia akan berlanjutan. Tidakkah itu boleh membawa kepada perzinaan akhirnya? Inilah yang terjadi kepada kedua-dua mereka. Dimulakan dengan senyuman pertama semasa pertemuan pertama mereka di perpustakaan, telah menyulam kuntuman cinta dalam hati kedua-dua mereka. Perwatakan sopan dan lembut Zayanah telah menambat hati Sidqi. Hampir dua bulan perkenalan mereka, Sidqi telah memberanikan dirinya menyatakan hasrat cinta kepada Zayanah, mudah sekali syaitan telah meruntuhkan keimanan dihatinya, Zayanah pula yang sudah lama menantikan putera agamanya itu, dengan mudahnya menerima hasrat hati Sidqi. Maka bergembiralah syaitan kerana telah dapat meruntuhkan iman mereka. kononnya dengan harapan dapat menyemai cinta Islamik. Mereka telah berjanji untuk saling mengingatkan dan menjaga batas perhubungan mereka. Zayanah telah berkali-kali mengingatkan Sidqi untuk mengikat tali pertunangan jika benar-benar ikhlas terhadap dirinya, namun Sidqi memberi alasan untuk menghabiskan semester akhirnya dahulu barulah dia akan meminang Zayanah. Zayanah yakin dengan kata-kata Sidqi. Perhubungan mereka berjalan lancar sepanjang semester dan dengan bantuan Sidqi, Zayanah telah dapat sedikit minat untuk meneruskan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan yang amat tidak disukainya dulu. Dengan bantuan Allah, mereka telah dapat menjawab soalan peperiksaan untuk semester itu dengan cemerlang.

Syaitan amat bijak dan pelbagai cara digunakan untuk meruntuhkan niat suci mereka, bercinta untuk mencari keredhaan Allah. Maka, terjadilah satu detik hitam dalam hidup kedua mereka, kerana mereka berasal dari negeri yang sama, Sidqi telah mengajak Zayanah untuk balik cuti semester ke kampung dengan menaiki keretanya. Pada mulanya Zayanah menolak pelawaan Sidqi, tapi apabila Sidqi memberi alasan hanya untuk teman berbual dan menghilangkan rasa mengantuk semasa memandu kereta, Zayanah menerima pelawaan buah hatinya itu, sayanglah katakan. Bila berdua-duaan, maka muncullah yang ketiganya, iaitu syaitan laknatullah, memujuk nafsu mereka. Maka terperangkaplah dua insan yang berkasih-sayang. Zayanah dan Sidqi telah hanyut ditelan nafsu . Sejak kejadian itu, Sidqi yang telah tamat pengajiannya di universiti itu telah menjauhkan diri daripada Zayanah dan meninggalkan Zayanah tanpa khabar berita, dengan alasan menyesal dan ingin bertaubat.



Bermula semester baru, Zayanah yang pada masa itu baru sahaja tahun dua pengajiannya, terpaksa menangguhkan pengajiannya selama setahun kerana mengandung hasil daripada perhubungan kotor mereka. Namun sesalan tidak berguna lagi, keluarganya tidak dapat menerimanya lagi dan tinggallah Zayanah terkapai-kapai dalam penyesalan seorang diri. Dengan jasa baik sahabat karibnya, Amilah, Zayanah menumpang di rumahnya sehingga dia melahirkan seorang cahaya mata lelaki. Zayanah sentiasa tertanya-tanya, masih adakah insan yang dapat menerima dirinya yang sudah tidak suci. Kerana dia tahu, penzina hanya untuk penzina, lelaki yang baik untuk wanita yang baik, dan sebaliknya. Kini Zayanah berada dalam tahun akhir pengajiannya di universiti tersebut, memang perit untuk Zayanah kerana dalam masa yang sama, dia terpaksa bekerja untuk menyara anak lelakinya, satu-satunya buah hatinya kini. Penyesalan tidak berguna lagi. Begitulah kita jika tanpa cinta kepada Allah, jika hanya mengharapkan cinta insani, mudah hanyut dan termakan pujuk rayu syaitan. Nau’zubillah..

PENGAJARANNYA(TAZKIRAH SEORANG SAHABAT) Cinta secara Islam hanya satu, iaitu perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab kabul, cinta selepas kahwin. Itulah cinta sacral dan qudus. Cinta yang bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan Islam. Apabila Islam menegah sesuatu perkara, tentu ia gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Jika ia menegah cinta antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin, ia membawa perkahwinan sebagai ganti yang lebih baik. Sabda Rasulullah : Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah. (Ibnu Majah). Cinta adalah maruah manusia, ia telalu mulia. Kalau begitu, adakah cinta remaja semua menghampiri kepada penzinaan? Ya, kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan turut terusik. Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian diatur pertemuan. Kemudian duduk berdua-dua. Kemudian mencari tempat sunyi sedikit. Kemudian berbual panjang sehingga malam gelap. Hubungan makin akrab, dah berani pegang tangan, duduk makin dekat. Kalau tadi macam kawan, sekarang macam pengantin baru, bukankah mereka ini semakin hampir dengan penzinaan? Berapa ramai orang yang bercinta telah sampai kepada daerah penzinaan dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibu bapa yang melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda daripada seekor nyamuk sekalipun!


WARKAH BUAT HAWA...
HAWA , andai engkau masih remaja, jadilah anak yg solehah bt kedua ibubapamu, andai engkau sudah bersuami, jadilah isteri yang meringankan beban suamimu, andai engkau masih ibu, didiklah anakmu sehingga dia tidak gentar memperjuangkan ad-din ALLAH...
HAWA, andai engkau belum berkahwin, janganlah kau risau jodohmu, ingatlah janji tuhan kita, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Jangan dimulakan sebuah pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrimmu, kerana aku khuatir dari mata jatuh ke hati, maka lahirnya senyuman maka tercetusnya salam sekaligus disusuli dengan pertemuan, takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri...
HAWA, lelaki yang baik tidak melihat pada paras rupa, lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui keayuannya, lelaki yang warak, tidak menilai wanita melalui kemanjaannya serta kemampuannya mengoncang iman lelaki, tetapi, lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya, peribadinya, dan yang paling penting pegangan agamanya. Lelaki yang baik juga tidak menginginkan pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya, kerana dia takut memberi kesempatan kepada syaitan untuk mengodanya, lelaki yang warak juga, tidak mahu bermain cinta kerana dia tahu apa matlamat dalam sebuah pertemuan lelaki dan wanita, yakni sebuah perkahwinan.

Oleh itu HAWA, jagalah pandanganmu, awasilah auratmu, peliharalah akhlakmu, kuatkan pendirianmu. Andai ditakdirkan tiada cinta daripada adam untukmu, cukuplah hanya cinta ALLAH, yang memenuhi dan menyinari kekosongan jiwamu, biarlah hanya cinta daripada kedua ibu bapamu yang memberi hangatan kebahagiaan buat dirimu, cukuplah sekadar cinta adik beradik, serta keluarga yang membahagiakan dirimu.
HAWA, cintailah ALLAH dikala susah dan senang kerana kau akan memperolehi cinta daripada insan yang juga menyintai ALLAH. Cintailah kedua ibu bapamu kerana kau akan perolehi keredhaan ALLAH, cintailah keluargamu kerana kau tidak akan jumpa cinta yang bahagia selain daripada cinta keluarga. Janganlah sesekali tangan yang mengoncangkan dunia, juga mengoncangkan iman lelaki.. TUNDUKKAN PANDANGANMU… WASSALAM WBT…